Lazat Dan Amat Berkhasiat, Ini 5 Resipi Bayam Brazil.
Bayam brazil antara sayuran yang mudah ditanam dan mempunyai pelbagai khasiat. Ia merupakan spesies tumbuhan yang cepat membesar. Daunnya boleh dimakan sama ada mentah atau dimasak.
Antara khasiat memakan bayam brazil ialah ia mampu melawan kanser, mengekalkan kesihatan mata, sumber vitamin K dan juga dapat menguatkan tulang. Bagi mereka yang ingin berdiet, bayam brazil dapat menurunkan berat badan.
Bagi wanita yang mementingkan kecantikan wajah pula, amalan memakan bayam brazil dapat mencegah penuaan pra matang dan mengekalkan awet muda.
Daun bayam brazil tidak berlendir dan juga rangup. Sebab itulah sayuran ini amat sesuai dijadikan ulaman.
Bayam brazil juga sesuai utnuk dijadikan bahan masakan seperti salad, masakan tumis, sup atau sayuran di dalam masakan barat. Masyarakat di Brazil mengamalkan makan secara mentah bersama tomato, bawang putih dan cuka.
Justeru, ini 5 resipi mudah dan lazat berasaskan bayam brazil.
1. Kerabu bayam brazil

Bahan-bahan:
Bayam Brazil
Mangga muda
Cili padi
Bawang merah
Gula (ikut rasa)
Air limau nipis
Kerisik (bahan paling penting!)
Bunga kantan (sebagai penyedap dan nak bagi wangi)
Ikan bilis (digoreng garing)
Cara-cara:
1. Gorengkan ikan bilis sampai garing. Ketepikan dulu sebab nanti akhir sekali baru tabur dalam kerabu.
2. Sementara itu, satukan bahan-bahan lain yang dah dipotong halus ke dalam sebuah bekas.
3. Akhir sekali, taburkan ikan bilis.
2. Krepek pedas bayam brazil
Bahan-bahan:
2 ikat bayam brazil
1/2 cawan tepung serbaguna
1/4 cawan tepung beras
1/4 cawan tepung gandum
3/4 cawan air sejuk
1 sudu makan jintan manis*
1 sudu makan jintan putih*
1 sudu kecil ketumbar*
Cara-cara:
1. Bersihkan daun bayam brazil. Bahan bertanda ditumbuk dahulu.
2. Satukan kesemua tepung dan campurkan bahan tumbuk tadi bancuh dengan air ais.
3. Masukkan air ais sedikit-sedikit hingga dapat bancuhan tak pekat & tak cair sangat ikut keselesaan.
4. Panaskan minyak yang banyak, ambil daun bayam brazil celup dalam bancuhan tepung, goreng hingga kekuningan dan kelihatan rangup, angkat dan toskan minyak.
5. Sedia dihidang sebagai snek yang sihat dan sedap untuk keluarga.
3. Telur dadar bayam brazil

Bahan-bahan:
3 biji telur ayam
Secekak bayam brazil (dipotong)
1 biji bawang merah (hiris halus)
Garam secukup rasa
Minyak (untuk menggoreng)
Cara-cara:
1. Campur telur, bayam, bawang dan garam. Gaul sebati.
2. Panaskan kuali. Masukkan bancuhan telur. Masak sehingga garing. Setelah garing, terbalik kan.
3. Bila dah sempurna masak, tutup api, angkat dan sedia untuk dihidang.
4. Masak lemak bayam brazil

Bahan-bahan:
2 ikat sayur bayam brazil
1 tangkai cili merah
1 pek santan
Garam
Bahan tumbuk:
1 ekor ikan direbus dan ambil isi
4 ulas bawang merah
Sedikit lada hitam
Cara-cara:
1. Tumbuk bawang merah dan lada hitam sehingga lumat. Kemudian masukkan isi ikan dan tumbuk lagi.
2. Masukkan santan dan bahan tumbuk ke dalam periuk. Kacau rata sehingga kuah mendidih.
3. Masukkan bayam dan cili merah dan kacau sehingga sehingga sayur lembut.
4. Akhir sekali, masukkan garam secukupnya. Bolehlah ditutup api dan sedia untuk dihidangkan.
5. Bayam brazil goreng belacan

Bahan-bahan:
Bayam brazil
6 biji cili besar dan cili padi (ikut tahap kepedasan)
3 ulas bawang merah*
2 ulas bawang putih*
Sedikit udang kering atau ikan bilis
Sedikit belacan
Gula, garam , perasa, asam
Cara-cara:
1. Tumbuk semua bahan bahan yang ditumbuk tadi atau kisar kasar.
2. Tumiskan bahan bahan yang ditumbuk tadi.
3. Bila dah masak elok, masukkan ikan bilis atau udang kering, belacan, perasa, gula garam dan sedikit perahan lemon atau air asam jawa.
4. Akhir sekali masukkan sayur bayam dan siap untuk dihidangkan.
Selamat mencuba!