Tip Nak Elak Minyak Merecik Atau Meletup Ketika Menggoreng
Memasak menggunakan kaedah menggoreng bukanlah asing bagi rakyat Malaysia. Tetapi yang menjadi masalah ketika menggoreng ikan atau ayam serta kuih muih bergoreng, minyak akan merecik atau meletup.
Inilah yang menjadi alasan anak dara atau mereka yang baru sahaja belajar memasak untuk takut masuk ke dapur. Memang sakit apabila terkena percikkan minyak walaupun sedikit.
Minyak panas ini bukan sekadar remeh dan sukar dikemas jika mengotorkan dapur, apabila terkena pada tangan atau muka, akan meninggalkan kesan. Malah, deritanya pun makan hari untuk baik pulih.
Jadi untuk menyelesaikan masalah ini semua, beberapa tip yang boleh anda cuba untuk kurangkan minyak merecik semasa menggoreng.
1. Guna penutup kuali
Sebolehnya, belilah kuali berpenutup untuk mengelakkan dari terkena percikan minyak semasa menggoreng. Kena pandai agak untuk membalikkan makanan yang digoreng, bimbang ia terlalu masak atau hangus sebelah.
2. Taburkan sedikit garam dalam minyak
Tip ini dikatakan mampu mengurangkan percikan minyak semasa menggoreng. Caranya, semasa minyak mulai panas, taburkan satu sudu teh serbuk garam di dalamnya.
Ketika masukkan garam akan bunyi seperti meletup tapi tidak terpercik. Selepas bunyi letup itu hilang, baru boleh masukkan makanan yang hendak digoreng.
Apabila anda gunakan cara ini, pastikan kurangkan jumlah garam dalam makanan yang digoreng.
3. Pastikan bahan gorengan dalam keadaan kering
Tip ini adalah yang paling berkesan. Pastikan bahan perapan yang digunakan pada makanan yang mahu digoreng tidak mengandungi air.
Ini disebabkan bahan gorengan yang basah dan mengandungi air akan menyebabkan minyak memercik keluar apabila digoreng. Jika terpaksa atau memang berair, tapis dahulu hingga air perapan tos.
4. Elak minyak terlalu panas
Hanya kerana mahu cepat masak bahan yang digoreng, anda panaskan minyak hingga tahap terlalu panas. Tindakan ini mengundang percikkan minyak yang kuat dan suhu yang terlalu tinggi akan mengurangkan kualiti minyak.
Selain itu, ia boleh membentuk radikal bebas yang tidak elok untuk kesihatan kita.
5. Sukat minyak untuk menggoreng
Minyak yang terlalu banyak atau sedikit boleh membuatkan minyak merecik. Oleh itu, sesuaikan minyak untuk keperluan menggoreng.
Paling bagus adalah menggunakan minyak 1/3 kuali, tetapi kalau hanya untuk menggoreng telur guna sedikit sahaja dan gunakan kuali leper anti lekat.
Selain semua tip yang diberikan, anda gunakan sahaja air fryer yang mana kita boleh menggoreng tanpa menggunakan minyak. Lebih menyihatkan pula tu!
Sumber: Rasa