
Kalau anda nak tahu, Malaysia pernah berada di tempat ketiga negara yang punyai masakan tersedap di dunia menurut Majalah Forbes. Jika kita ke luar negara sekalipun, pasti kita akan teringin untuk mencari restoran yang menyajikan masakan Malaysia. Betul tak?
Kali ini MakanLena nak kongsikan 9 jenis makanan yang paling tidak sihat namun menjadi kegemaran rakyat Malaysia. Ukuran tidak sihat ini adalah berdasarkan jumlah kandungan kalori makanan tersebut.
Panduan pemakanan sihat mencadangkan individu dewasa menghadkan pengambilan lemak antara 20 hingga 35 peratus daripada jumlah kalori sehari iaitu 2,000 kalori. Kalori adalah penting untuk memberi tenaga kepada badan, namun pengambilannya yang berlebihan akan menghasilkan lemak lalu tersimpan di dalam badan. Jika terlalu banyak yang tersimpan, kalori ini yang akan membuatkan anda gemuk.
Selepas ini, pasti anda tahu mengapa ramai rakyat Malaysia mempunyai masalah obesiti kan?
9. Satay = 185 kalori (5 cucuk Satay)
Memang sedap makan satay lagi-lagi bila rasa dagingnya sangat juicy. Pelbagai pilihan hidangan satay juga tersedia seperti ayam, daging, kambing dan sebagainya.
Walaupun jumlah kalori di atas tampak sedikit, harus diingat bahawa tiap kali anda makan satay, pasti akan ada makanan sampingan yang turut anda ambil bersama contohnya kuah kacang dan nasi himpit. Dapat bayangkan berapa nilai kalori sebenar yang anda ambil apabila memakan satay?
8. Cendol = 386 kalori
Untuk pengetahuan anda, semangkuk cendol bersamaan 9 sudu gula. Kandungannya mempunyai Glycaemic Index (GI) yang tinggi menyebabkan anda cepat lapar. Nilai ini adalah untuk semangkuk cendol biasa. Bayangkanlah kalau anda memilih untuk merasa cendol pulut pula.
7. Bihun Goreng = 427 kalori
Antara menu mudah untuk dipesan di kedai mamak kerana tak banyak karenah untuk memasaknya. Satu pinggan Bihun goreng melebihi jumlah kolesterol 300 mg untuk setiap individu. Kandungan MSG yang tinggi juga menyebabkan anda mudah berasa dahaga. Pastikan meminum air kosong apabila mengambil hidangan ini.
6. Mee Goreng = 500 kalori
Satu lagi menu mudah order di kedai mamak. Kandungan garamnya amat tinggi sehingga mampu memberi bahaya kepada orang dewasa. Kekerapan mengambilnya boleh mendatangkan penyakit hypertension.
5. Laksa = 591 kalori
Rasa lemak dan enak laksa hadir daripada penggunaan santan. Namun harus diingat, santan mempunyai lemak tepu di dalamnya dan antara risiko kepada sakit jantung.
4. Nasi Ayam = 607 kalori
Nasi ayam punyai kandungan lemak yang agak tinggi iaitu 23 g, separuh daripada kandungan lemak yang diperlukan oleh seorang individu. Untuk pengetahuan anda, ia memerlukan 4 jam untuk lemak dicernakan di dalam badan.
Untuk elakkan perut menjadi buncit, digalakkan untuk anda tidur hanya selepas 4 jam anda makan nasi ayam.
3. Nasi Lemak = 657 kalori
Nasi lemak merupakan makanan yang biasa kita jumpa dikala waktu sarapan pagi. Dapat sebungkus, pasti akan rasa mengantuk sehingga ke tengah hari. Ini adalah kerana kandungan santan di dalamnya mempunyai 25 g lemak.
2. Mee Siam = 694 kalori
Kandungan karbohidrat dan sodium di dalam Mee Siam agak tinggi. Diingatkan bahawa jika anda ingin memasak Mee Siam, sila kurangkan bahan perasa tambahan seperi Ajinomoto.
1. Char Kuey Teow = 744 kalori
Kandungan asas Char Kuey Teow terdiri daripada campuran kicap, daging dan udang lalu menghasilkan 38 g lemak iaitu 70% lemak tepu dan kolesterol. Kandungan sodiumnya juga banyak iaitu 1,459 mg.
Kesimpulan
Berdasarkan jenis makanan yang kami kongsikan, kesemuanya makanan yang biasa kita nikmati di Malaysia. Tak salah untuk sekali sekala makan makanan di atas, tapi dinasihatkan untuk tidak berlebihan agar kita tidak menerima penyakit obesiti. Kawal kalori anda dan banyakkan bersenam ya.