
Pejam celik, pejam celik tak sedar pun rupanya kita sudah menghampiri pengakhiran Ramadan dan bakal bertemu Syawal. Pasti sekarang masing-masing sudah sibuk menyediakan kelengkapan raya. Pusat-pusat bandar pun nampaknya semakin lengang kerana kebanyakan warga kota sudah pulang ke kampung halaman. Apa yang pasti, apabila pulang ke kampung sudah tentu akan memakan masa yang lama di atas jalan kerana tersekat dengan kesesakan lalu lintas.
Bagi yang sudah berkeluarga, situasi ‘genting’ ini akan membuatkan anak-anak kecil resah dan tak senang duduk. Itu belum lagi ditambah dengan keriuhan bila mereka bergaduh. Si ibu dan bapa pula bila sudah penat melayan ragam anak-anak, maka jalan mudah bagi mereka adalah dengan memberikan gajet kepada anak-anak.
Tahukah anda, sebenarnya anda boleh melekakan si kecil tanpa bantuan gajet, malahan aktiviti ini dapat merangsang minda mereka. Nah cubalah, pastinya ia menyeronokkan.
1. Teka Teki atau Cari Benda / I Spy With My Little Eye
Budak-budak biasanya sukakan permainan teka teki. Jadi, cuba bagi soalan yang mudah dan biarkan mereka perah otak sikit untuk mendapatkan jawapan. Permainan mudah ini boleh dimainkan di mana-mana sahaja. Pilih satu objek yang boleh dilihat dan berikan klu pada anak. Untuk teka teki pula, kena buat ‘homework’ sikit bagi mendapatkan teka teki yang banyak. Reka pun takpe rasanya… Yang penting ia dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan dan mengalakkan kita berfikir.
2. Permainan Ejaan / Spelling Bee
Rekalah soalan seperti meminta anak mencari objek sepanjang perjalanan, kemudian minta anak anda mengeja perkataan tersebut. Untuk jadikan lebih mencabar, cuba minta anak untuk terjemahkan perkataan atau objek yang dieja tadi ke dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.
3. Permainan Unsur Kira-Kira atau Baca Peta
Aktiviti lain ialah boleh cuba beri anak soalan congak untuk dijawab. Untuk anak yang baru belajar pulak, boleh berikan mereka objek seperti penyepit baju untuk menjawab soalan yang berkaitan. Selain itu, boleh minta anak menambah atau mendarabkan nombor pada plat kereta yang dilihat. Namun, anda juga boleh mengajar dan menguji anak-anak membaca jalan yang betul melalui peta.
4. Menyanyi Bersama
Hanya bermodalkan radio, bukalah mana-mana stesen radio ataupun download sahaja lagu kanak-kanak seperti Omar & Hana atau Didi & Friends ke dalam pendrive anda. Nanti boleh nyanyi sama-sama dalam kereta. Selain menghilangkan bosan anak, kita yang memandu ni pun boleh hilang mengantuk dan lebih ceria.
5. Baca Papan Tanda / Plat Kenderaan
Aktiviti yang bagus untuk anak-anak yang baru belajar mengenal huruf dan angka. Pilih aje mana-mana kenderaan atau papan tanda untuk anak membaca. Stimulasi otak ini adalah sangat efektif untuk membantu anak anda mengenali abjad dengan cepat.
6. Cari Harta Karun / Scavenger Hunt
Untuk aktiviti ini, kena buat ‘homework’ sikit. Print siap-siap sesuatu yang comel untuk bermain permainan ini atau yang boleh design sendiri checklist. Tema yang dipilih pastikan bersesuaian seperti papan tanda ataupun jenis kenderaan. Secara tak langsung, anak akan bertindak atau memberikan respon dengan perhatikan suasana keliling untuk mencari objek dan sebagainya.
7. Bingo
Permainan klasik ini boleh juga dijadikan scavenger hunt. Mintalah anak anda mencari objek-objek yang terdapat di atas kertas dengan format yang sama seperti permainan bingo. Jadi, siapa yang dapat menyempurnakan satu garisan, dia dikira pemenang.
8. Bawa Buku atau Permainan Kesukaan
Kadang-kadang kita terlalu bergantung dengan gajet untuk menghilang ‘kebosanan’ anak-anak. Selain itu, terdapat banyak kajian yang dijalankan mendapati anak akan terlalu fokus dan berada di dalam dunia tersendiri dan menyebabkan mereka kurang memberi perhatian kepada orang sekeliling. Oleh itu, bawakanlah buku atau alat permainan kesukaan mereka. Anda masih boleh bemain bersama dan memantau pergerakan mereka.
10. Sediakan Snek
Tip ini sangat penting. Wajib sediakan bekalan makanan dan minuman yang mencukupi kerana si kecil bila penat dan lapar kuat tantrumnya, tambahan pula jika pulang ke kampung yang memakan masa berjam-jam lamanya. Jadi, bila ada snek seperti buah, roti atau biskut mereka akan menjadi diam sedikit kerana leka mengisi perut.
Jadi, lepas ni bolehlah cuba mana-mana atau kalau larat buat semua aktiviti di atas sebagai persediaan jika anda sekeluarga tersangkut dalam kesesakan jalan raya. Pandulah dengan berhati-hati dan semoga selamat sampai ke pangkuan keluarga.