
Kebanjiran buah durian yang sedang melanda negara kita sekarang ini memang menjadi kegilaan pencinta raja buah ini. Sehingga McDonald’s pun menyediakan menu khas untuknya. Namun, ada juga antara kita yang berhati-hati untuk menikmati buah durian kerana takutkan dengan kesan sampingannya.
Antara sebab mereka tidak terlalu menikmati buah durian adalah seperti akan berasa panas badan selepas menikmatinya, kandungan gula yang tinggi menjadikannya tidak sesuai untuk mereka yang mengidap penyakit diabetis untuk merasanya dan juga kandungan karbohidrat yang tinggi yang boleh memberi kesan kenaikan berat badan si pemakan.
Namun, buah durian masih mempunyai khasiatnya yang tersendiri. Jom MakanLena kongsikan.
1. Tinggi Nutrisi
Kandungan buah durian kaya dengan potassium, zat besi, serat, Vitamin C dan Vitamin B Kompleks. Semua nutrisi ini berfungsi bagi menyokong sistem imunisasi, meningkatkan sel darah merah, meningkatkan kekuatan otot dan melawas pembuangan air besar.
2. Naikkan Berat Badan
Ha, yang ini bukan untuk mereka yang ingin diet ya, tapi sesuai untuk mereka yang mempunyai kekurangan berat badan. Sekilogram buah durian mempuyai 1,350 kalori dan tinggi dengan karbohidrat. Seronokkan naikkan berat badan begini?
3. Mencantikkan Kulit
Vitamin C yang terkandung dalam buah durian lebih tinggi berbanding buah-buahan tropika yang lain. Setiap 2 ulas durian bersaiz sederhana mengandungi 11.6mg Vitamin C yang banyak agen anti-oksidan untuk menentang radikal bebas dan mengurangkan pigmentasi serta kedutan kulit.
4. Mudah Tidur
Punyai masalah sukar tidur? Kandungan tritofan dalam durian boleh berubah menjadi serotonin yang memberikan rasa relaks kepada badan. Serotonin yang berlebihan akan berubah menjadi melatonin ke dalam aliran darah menyebabkan rasa letih lalu menjadikan kita lepak untuk berehat sekaligus boleh membawa kepada tidur. Sesuai untuk mereka yang ada masalah imsonia.
5. Merendahkan Tekanan Darah
Kandungan kalium yang tinggi mampu mengimbangkan cecair dan garam dalam sel badan. Ia juga mampu merehatkan saluran darah dan mengurangkan tekanan pada sistem kardiovaskular.
Nah, cukup 5 kebaikan MakanLena kongsikan kepada anda. Apa lagi, jom kenduri durian!
Sumber: Free Malaysia Today
Kredit Gambar: Mashable