
Makan dalam bas? Eh itu perkara biasa. Yang luar biasa nya kalau makan ada kerusi lengkap dengan meja semua. Senang cerita restoran dalam bas lah. BW Bus Restaurant merupakan sebuah restoran unik di mana restoran ini dibina khas dalam beberapa buah bas yang terpakai. Restoran yang baru dibuka pada awal Julai yang lalu juga lebih dikenali sebagai Restoran Bas Biru.
Pemilik restoran, John Chin mendapat ilham untuk membina restoran dalam bas ini apabila beliau rasa sayang pada bas – bas terpakai yang akan dijual di tempat besi buruk. Jadi apa salahnya gunakan kemudahan yang sudah sedia ada untuk mencari sumber rezeki?
Terletak di Kundasang, Sabah, restoran ini menghidangkan pelbagai jenis makanan barat dan makanan sihat sebagai menu utama.
Tambahan pula, yang membuatkan restoran ini lebih istimewa ialah anda dapat nikmati makanan sambil melihat pemandangan yang cukup indah iaitu Gunung Kinabalu! Siapa yang tak nak kan? Selain itu, restoran ini juga ada taman arnab dan anda boleh bermanja dengan mereka selepas makan.
Amat mudah untuk sesiapa yang berpeluang ke Kundasang untuk ke sini kerana ia terletak hanya 10 minit dari pekan Kundasang. Lokasinya yang strategik membuatkan sesiapa yang melalui jalan raya utama pasti tertarik untuk datang ke sini.
Bagi mereka yang berkesempatan melawat Kundasang, singgahlah sebentar di BW Bus Restaurant. Pasti tidak menyesal dapat makan sambil nikmati pemandangan indah dari tingkap bas!
Alamat: BW Bus Restaurant, Batu 7, Kg.Pinausok Kundasang, Ranau, Sabah
Status: Halal
Image credit: @mem_umie