Coca Cola Ingin Hasilkan Minuman Berasaskan Ganja

Coca Cola sedang memantau secara dekat ke atas prospek pasaran mengenai penghasilan minuman berasaskan ganja atau marijuana.

Dilaporkan bahawa Coca Cola mempunyai cadangan penghasilan minuman ini selepas membuat rundingan dengan syarikat Aurora Cannabis Inc dari Kanada, syarikat pengeluar ganja berlesen yang berpangkalan di negara tersebut. Syarikat ini juga telah disenarai awam di Toronto Stock Exchange.

Dijangkakan kerjasama antara dua syarikat berkenaan bakal membantu Coca Cola mengatasi masalah terhadap permintaan yang semakin kurang terhadap minuman berkarbonat mereka yang tinggi dengan kandungan gula. Mereka kini ingin memfokuskan kepada produk yang berasaskan kopi atau minuman kesihatan.

Kanada telah meluluskan penggunaan marijuana secara rekreasi di beberapa negeri lantas menarik minat beberapa syarikat untuk mencuba industri ini. Tambahan juga, Kanada bakal menjadi negara sebagai ujikaji terhadap produk dan pengeluaran sehingga Undang-Undang Persekutuan Amerika Syarikat diubah.

Kerjasama Coca Cola dan Aurora Cannabis juga dilaporkan untuk mencipta minuman yang mampu meredakan masalah keradangan, kesakitan dan kekejangan.

Sumber: Astro Awani