Review KFC Zinger Waffle Burger

KFC hari ini telah melancarkan menu terbaru mereka, Zinger Waffle Burger di mana ia menampilkan kombinasi unik antara waffle dan juga burger.

Tidak dihidangkan bersama roti biasa, burger ini menampilkan waffle Belgian empuk yang mengapit filet ayam Zinger pedas bersama kepingan ayam rangup. Ianya dicurahkan dengan sirap mapel manis bersama sos mayo KFC bagi menghasilkan kombinasi menyelerakan di antara manis dan pedas bersama ciri empuk dan rangup.

kfc zinger waffle burger

Kami telah mencuba burger terbaru KFC ini. Apa yang kami dapati adalah saiznya memang besar. Saiz ini dipengaruhi oleh faktor waffle besar yang mengapit ayam Zinger di tengahnya. Bila buka memang akan nampak seketul filet ayam dan hirisan ayam rangup di bawahnya.

Sekali gigit, datang satu rasa yang sangat unik. Lain daripada yang lain. Kombinasi manis waffle yang dicurahkan sirap mapel dan ayam Zinger pedas. Jika anda yang jarang makan waffle, kami rasa ini merupakan menu yang mampu membuka minda anda.

kfc zinger waffle burger

Gigitan demi gigitan diteruskan demi memahami rasa sebenar Zinger Waffle ini. Namun, kunyahan demi kunyahan yang diteruskan membawa kepada sedikit kekecewaan apabila timbul rasa muak untuk menghabiskan burger yang besar dan manis ini. Makin lama, makin susah nak habis. Dia sedap dikunyah pada kunyahan awal sahaja.

Tapi ini pendapat kami sahaja, anda kena cuba dahulu.

Boleh dapatkan burger ini di KFC sekarang dengan harga ala carte bermula RM13.50. Hidangan masa terhad ini juga terdapat di dalam kombo serta Mega Box. Kombo Zinger Waffle Burger didatangkan bersama Crispier Fries dan minuman Pepsi Black. Manakala, Mega Box didatangkan bersama seketul ayam Hot & Spicy atau Original Recipe.