Ini Buku Wajib Baca Bagi Kaki Travel

Buat kaki-kaki travel di luar sana, tahukah yang anda wajib baca buku ini?

The Alchemist, karya Paulo Coelho.

Buku ini laku keras sangat-sangat di seluruh dunia. Banyak orang kaitkan buku ini dengan pentingnya kita mencapai impian kita, walaupun nampak macam mustahil di mata orang lain.

Buku ini mengisahkan seorang pengembala kambing yang muda bernama Santiago, yang berjaya menjumpai harta karun. Santiago mengikut segala gerak hatinya dan kepercayaan bahawa dunia telah menyediakan segala impiannya, cuma perlu usaha untuk mencapainya. Santiago sanggup merantau jauh dari tempat tinggalnya, mengabaikan segala kata-kata orang lain semata-mata untuk mencapai impiannya itu.

Masih ingat lagi momen bila kita berjaya travel buat pertama kalinya? Macam mimpi, bukan? Dream comes true, beb! Apapun, jom kami ceritakan kisah di sebalik buku ini yang akan buat anda rasa “Yes, I must read this!”:

1. Hanya 2 minggu siap ditulis

Paulo Coelho hanya mengambil masa selama 2 minggu untuk menghabiskan penulisan buku ini. Katanya, tak perlu ambil masa yang lama pun, sebab isi kandungannya sudah lama tertulis di dalam jiwa beliau sebelumnya.

Macam familiar saja cara ad-hoc begini bila kita rancang untuk travel, betul tak? Kadang ada trip tak perlu perancangan rapi bertahun-tahun pun. Yang penting trip berjaya direalisasikan dan kita enjoy.

2. Penuh liku sebelum laku

Cetakan pertama The Alchemist pada tahun 1988 adalah dalam bahasa Portugis. Beberapa percubaan seterusnya untuk mencetak dalam bahasa lain gagal, hinggalah cetakan dalam bahasa Inggeris berjaya dilakukan pada tahun 1993. Sehingga tahun 2016 saja, The Alchemist telah terjual sebanyak 65 juta naskhah dan menjadi buku yang diterjemahkan kepada 80 bahasa di dunia. Tak ada yang mustahil dalam dunia ini. Just do it!

Kredit: Steemit

3. Strategi rare untuk promosikan buku

Paulo Coelho sanggup travel dari tempat asalnya, Brazil ke tempat-tempat rare macam Bulgaria, Macedonia, Slovenia, Latvia, Slovakia dan Iceland semata-mata untuk mempromosikan The Alchemist. Bayangkan, ini semua berlaku pada tahun 1990an, yang mana sistem pengangkutan dan teknologi maklumat tidaklah secanggih sekarang.

Cetak rompak tiada masalah bagi Paulo Coelho. Bermula pada tahun 2000, buku-buku beliau boleh dimuat turun secara online, free of charge. Malah beliau siap lancarkan laman web Pirate Coelho, sebagai pusat pengumpulan buku-buku cetak rompak beliau. Boleh cuba tengok edisi cetak rompak buku-buku tersebut di sini.

Bagi Paulo Celho, strategi free download ini telah menaikkan jualan buku The Alchemist yang original. The Alchemist dalam Bahasa Russia pada asalnya cuma terjual sebanyak 1,000 naskhah. Selepas versi cetak rompak online dikeluarkan, jualan The Alchemist yang original di Russia meningkat kepada 10,000 naskhah. Pelik tapi benar, bukan?

Kredit: Anton Nordenfur

4. Pencapaian terbaik sepanjang zaman

The Alchemist menjadi buku bestseller bertahun-tahun lamanya di Amerika Syarikat, Perancis, negara-negara Eropah dan Portugal. pada tahun 2003, The Alchemist membantu Paulo Coelho mencatat rekod Guinness sebagai “Buku yang mendapat paling banyak tandatangan dalam satu masa”. Paulo Coelho menurunkan tandatangannya pada naskhah The Achemist dalam 53 bahasa sekaligus di pesta buku di Frankfurt, German pada waktu itu.

Pada tahun 2014, The Alchemist membantu Paulo Coelho mencatat rekod Guinness sebagai “Buku yang diterjemahkan kepada paling banyak bahasa di dunia, iaitu 67 bahasa”. Terbaik!

Kredit: Twitter (Paulo Coelho)

5. Buku kegemaran pemimpin dan selebriti di dunia

Bekas Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton pernah dilihat membaca buku The Alchemist. Malah selebriti terkenal seperti Madonna, Oprah Winfrey, Will Smith dan Julia Roberts juga pernah mengulas betapa The Alchemist banyak membantu mereka mengubah kehidupan mereka.

Di Malaysia, The Alchemist merupakan antara 10 buku kegemaran Menteri Pendidikan kita, Dr Maszlee Malik. Menurut Dr Maszlee, buku ini memberikan semangat yang kuat untuk beliau terus belajar dan menyiapkan tesis PHD di University of Durham. Kalau nak tahu buku lain yang menjadi kegemaran beliau, klik sini.

Anda yang belum membaca The Alchemist, apa tunggu lagi? Cepat-cepatlah beli atau download secara online. Kami yakin anda akan lebih terinspirasi untuk mencapai impian anda, samada untuk travel atau mungkin untuk impian lain juga.

Kredit featured image: Amazon.in