Sah! Bakteria Dalam Mi Laksa Punca Keracunan Di Kupang

Bakteria Salmonella Enterica Serovar Weltevreden yang dikesan dalam sampel klinikal pesakit dan mi laksa yang dibeli dari premis di Kupang, Baling, Kedah adalah agen penyebab keracunan yang menggemparkan negara baru-baru ini.

Ia disahkan semalam hasil dari siasatan dan keputusan lengkap Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh, Selangor dan Makmal Keselamatan Kualiti Makanan Pulau Pinang. Melalui kaedah ujian Pulse Field Gel Electrophoresis (PFGE), didapati bakteria itu berpunca dari satu sumber iaitu mi laksa yang dibeli pada 4 Oktober lalu dari gerai terbabit.

Mi laksa tersebut dihasilkan sendiri oleh tuan punya gerai itu. Punca utama yang menyumbang kepada kejadian keracunan makanan ini berkemungkinan dari proses penyediaan dan penyimpanan mi laksa yang tidak bersih. Faktor suhu penyediaan ketika pemprosesan serta suhu pemanasan semula mi laksa sebelum dimakan juga boleh mempengaruhi proses untuk menyahkuman.

Untuk makluman, gerai menjual laksa terbabit sudah ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit 1988 sejak 8 Oktober lalu dan tiada kes baharu dikesan sejak itu.

Jumlah keseluruhan kes kekal 83 kes termasuk dua kematian. Semua yang dirawat di hospital sudah didiscaj.

Pemilik gerai menjual mi laksa terbabit sudah dimaklumkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Baling berkaitan hasil siasatan yang dijalankan.

Pemilik gerai laksa tersebut dinasihatkan mengambil langkah pembaikan segera dengan memastikan semua keperluan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan keperluan Pihak Berkuasa Tempatan dipatuhi sepenuhnya bagi membolehkan premis dibuka semula.

Sumber: Berita Harian