
Tidak lengkap rasanya jika tiada stok cili padi di rumah terutama bagi mereka yang gemar makan pedas. Namun, acapkali masalah ini sering dihadapi apabila cili padi mudah rosak dan busuk walaupun telah diletakkan dalam peti sejuk.
Memang tidak dinafikan, cili padi mudah lembik dan rosak meskipun baru sehari dua dibeli. Kesudahannya cili padi yang rosak tadi terpaksa dibuang kerana tidak dapat untuk digunakan lagi. Ini telah mengakibatkan berlakunya pembaziran.
Terdapat banyak cara bagi mengekalkan kesegaran cili padi agar tahan lama. Petua yang ingin dikongsikan dalam artikel ini, dapat membantu cili padi bertahan lama sehingga 2-3 minggu. Jom follow petua ini untuk dipraktikkan.
Bahan-bahan :
Cili padi
2-3 Ulas bawang putih
Tisu
Langkah-langkah :
1. Untuk lebih memudahkan kerja, buangkan tangkai cili padi terlebih dahulu. Namun, sekiranya anda seorang yang lebih gemar memasak dengan menggunakan tangkai cili padi sekali, tiada masalah untuk tidak membuang tangkai tersebut.
2. Ambil satu bekas berpenutup ataupun tidak berpenutup, ataupun boleh sahaja untuk menggunakan penapis, kemudian alaskan dengan tisu.
3. Masukkan cili padi dan letakkan 2-3 ulas bawang putih.
4. Simpan di dalam peti sejuk.
5. Apabila ingin menggunakan cili padi untuk dimasak, barulah dibasuh bersih cili padi tersebut.
Petua yang sangat mudah dan berkesan. Semoga sahaja dengan mempraktikkan petua ini dapat membantu ibu-ibu di luar sana yang sering mengalami masalah cili padi cepat rosak dan tidak tahan lama.
Selamat mencuba.