
Nak masak daging ni, bukan hanya tunggu hari raya sahaja, malah hari-hari biasa juga boleh masak daging dengan pelbagai menu yang menyelerakan. Tetapi apabila daging yang dimasak menjadi liat dan sukar untuk dikunyah, secara tidak langsung ianya telah merosakkan selera.
Apabila daging dimasak menjadi liat, ini menunjukkan daging tersebut tidak dimasak dengan begitu sempurna.
Untuk mendapatkan daging yang lembut apabila dimasak, selain daripada teknik pemotongan daging yang betul, ada beberapa cara yang boleh dipraktikkan ketika memasak daging.
1. Biji Kurma
Masukkan beberapa biji kurma ke dalam masakan daging. Rasa manis bukan sahaja dapat melembutkan daging, malah ia juga menjadi penambah rasa manis dalam masakan. Pastikan jangan memasukkan biji kurma yang terlalu banyak kerana daging akan menjadi hancur.
2. Daun Nangka
Ambil beberapa helai daun nangka yang masih muda, kemudian basuh dan masukkan ke dalam rebusan daging. Selain daging, daun nangka juga dapat digunakan ketika memasak ayam hutan ataupun ayam kampung supaya lebih cepat empuk.
3. Perap Daging
Perapkan daging yang telah siap dipotong bersama cuka makan selama lebih kurang 15-20 minit. Kemudian, toskan daging yang diperap dan boleh dimasak. Selain daripada cuka, lemon dan limau nipis juga boleh digunakn dalam proses pemerapan daging.
4. Daun Betik
Gunakan beberapa tangkai daun betik dan masukkan ke dalam masakan atau rebusan daging. Pastikan daun betik telah dibasuh bersih. Buah betik muda juga boleh digunakan untuk proses melembutkan daging. Kupaskan kulit buah betik, buangkan bijinya dan basuh bersih. Kemudian masukkan ke dalam masakan.
Selamat mencuba cara-cara di atas. Jika anda mempunyai tips lain untuk melembutkan daging, bolehlah dikongsikan bersama kami.