Ini Dimaksudkan IQ Sebatang Lobak

Menerusi akaun Twitter Khairy Jamaluddin (KJ) yang juga Ahli Parlimen Rembau, beliau mengatakan yang perkara pertama yang akan dilakukan sekiranya menjadi presiden UMNO adalah memecat Datuk Lokman Noor Adam kerana mempunyai IQ sebatang lobak.

Ini berikutan penulisan Lokman yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, yang menyifatkan bekas ketua pemuda UMNO itu “meroyan seperti orang datang bulan” merujuk pada tindakannya yang menemplak kenyataan bekas perdana menteri sebelum itu.

Walaupun ramai yang kononnya terhibur dengan tweet KJ tersebut, namun adakah netizen benar-benar tahu perkaitannya?

Memandangkan ia melibatkan lobak yang juga sebahagian daripada keluarga makanan, maka kami di MakanLena rasa bertanggungjawab untuk memberi sedikit penjelasan.

Jadi mana datangnya IQ tahap lobak ini?

Sebenarnya ia bermula daripada seorang ahli Mensa (Persatuan IQ Tinggi) bernama Peter Baimbridge yang memberi komentar kontroversi ketika ditemuramah dalam rancangan BBC Breakfast pada akhir tahun 2012 lalu.

carrot02
Sumber: Dailymail.co.uk

“Kebanyakan yang melalui ujian IQ akan mendapat markah 100 ke atas dan semakin tinggi markahnya, semakin bijaklah anda. Dan jika IQ anda sekitar 60, maka kemungkinan anda adalah sebatang lobak.”

Beberapa minit sahaja selepas ia ke udara, BBC menerima banyak panggilan berbentuk kecaman daripada penonton. Mereka merasakan ia satu bentuk penghinaan terutama kepada golongan lembam.

BBC kemudiannya segera membuat permohonan maaf secara rasmi serta membacakan juga kekesalan Peter Baimbridge atas komentar beliau itu.

Tetapi kenapa lobak?

IQ diukur dari beberapa ujian berbentuk teka-teki (puzzles). Memandangkan sebatang lobak pasti tidak akan dapat menyelesaikan teka-teki, maka ia sewajarnya berIQ kosong.

Begitulah.

Sumber: Independent, BH Online