
Sejak Singapura berpisah dengan Malaysia bagi membentuk negara baru dan mengisytiharkan merdeka pada 1965, rakyat dua negara ini sering berbalah untuk menuntut hak masing-masing dalam segala hal. Pada 30 Oktober 2018, satu tweet daripada pihak UNESCO World Heritage ada menyentuh mengenai Singapura yang secara berhabisan cuba untuk membida budaya penjaja tempatan dengan mengadakan promosi laman web dan pameran bergerak.
Petisyen yang berjaya dikumpul untuk menyokong bidaan ini setakat bulan Oktober 2018 sudah menghampiri angka 38,000! Bidaan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Singapura pada Ogos 2018 ini telah menimbulkan kemarahan dan rasa tidak senang sebilangan rakyat Malaysia.
Bidaan ini kononnya dilakukan dengan tujuan mendaftarkan warisan budaya tidak ketara atau ‘intangible cultural heritage‘ yang akan membantu melindungi dan mempromosikan budaya unik ini untuk generasi akan datang. Pencalonan yang dibuat oleh tiga badan utama iaitu Lembaga Warisan Negara, Agensi Alam Sekitar dan Persekutuan Persatuan Pedagang, Singapura mengatakan ia tidak bermatlamat untuk menuntut amalan budaya, tetapi semua orang pasti tahu apa yang akan terjadi sekiranya bidaan mereka ini diluluskan, bukan?
Mengapa tidak bidaan ini dimilikkan bersama Malaysia? Hal ini demikian kerana hidangan seperti nasi ayam, nasi lemak dan kari laksa ini kesemuanya disajikan di kedua-dua buah negara. Mengapa tidak kita ikuti seperti yang berlaku pada menu kimchi yang dimilikkan bersama di Korea Utara dan Korea Selatan?

Tuntutan ini bukan sahaja menimbulkan rasa kurang senang dari rakyat Malaysia, tetapi juga daripada rakyat Singapura sendiri. Sebilangan mereka bersetuju sekiranya bidaan ini hanya melibatkan budaya penjaja dengan tujuan meningkatkan taraf hierarki masyarakat ini yang masih dianggap rendah, tetapi bukan pada bidaan yang menuntut pemilikan tradisi.

Secara asalnya, makanan penjaja di Singapura tiada keunikan yang tersendiri kerana banyak diadaptasi daripada Malaysia. Namun hanya kerana mereka mahu supaya generasi muda di Singapura menghargai nilai budaya dan tradisi, bidaan ini diusulkan.
Persoalannya, wajarkah perkara ini berlaku?
Sumber: The New York Times