Ayam Lejen II, Ini Respon Kami

Pada 11 November 2018, MakanLena telah dijemput untuk hadir ke Festival Ayam Goreng II Ayam Lejen yang bertempat di LRT Ara Damansara. Yang menariknya di sini, bayaran pembelian dibuat dengan menggunakan aplikasi Boost yang menjadi penaja rasmi e-dompet festival ini. Dengan bayaran tiket masuk RM5 yang akan dipulangkan kembali ke dalam akaun Boost apabila menggunakan kod ‘muhrqzq’, para pengunjung dibekalkan dengan satu tin air F&N Season yang boleh ditebus di gerai F&N Season!

BACA: Ayam Lejen Kembali!

Ayam Lejen
Sumber: Facebook Friedchillies

Untuk memudahkan para pengunjung, akaun Boost boleh ditambah nilai menerusi pembelian di booth Boost atau staf yang berada di kawasan pendaftaran dan pintu masuk. Buat pengetahuan semua, menu-menu ayam yang dijual kesemuanya mempunyai nilai yang sama, iaitu RM6.50 bagi setiap hidangan!

Antara menu yang dicuba oleh pihak kami:

1. Kyochon Spicy Garlic Chicken – Kyochon 1991

Sebut sahaja Kyochon 1991, para peminat ayam sudah tidak asing lagi dengan jenama dari Korea ini. Rasa pedas cili dan bawang putih yang disalutkan pada bahagian kepak dan peha ayam Kyochon Spicy Garlic Chicken ini memang ‘terangkat’! Dengan kerangupan isi ayam ditambah pula dengan sayur jeruk yang dihidangkan bersama, fuh! Betul-betul menyelerakan!

Ayam Lejen

2. Fried Chicken with Curry Chee Cheong Fun – Lim Fried Chicken

Kuetiau kari yang dihidangkan bersama ayam goreng rangup dan sambal istimewa yang menjadikan hidangan ini betul-betul kaw! Rugi kalau siapa yang tidak mahu menambah sambal istimewa tersebut. Rasa pedas dan kepekatan kuah kari sambal ini memang sedap!

Ayam Lejen

3. Nasi Lemak Wak Kentut JB – Wak Kentut Kulai

Nasi lemak yang memang lejen di Kulai, Johor ini tidak boleh disangkal rasa enak dan lemaknya. Memang ramai pengunjung yang menanti giliran untuk menikmati nasi lemak ini sehinggakan mereka perlu beratur panjang. Buat mereka yang berada di kawasan Johor, anda memang patut cuba Nasi Lemak Wak Kentut ini!

Ayam Lejen

Ayam Lejen
Sumber: Facebook Friedchillies

4. Milo Chicken Strips with Budu Mayo – MyBurgerLab

5 ketul isi ayam yang bersalut milo dan ditabur sedikit serbuk kayu manis memang sesuai apabila dicicah bersama sos budu mayo. Buat yang tidak gemar atau tidak pernah makan budu, jangan risau, rasa budu dalam sos ini memang tidak ketara. Just nice gitu.

Ayam Lejen

5. Fried Chicken Cheese Sauce – Familia Fried Chicken

Menu ayam goreng yang dihidangkan bersama nachos rangup dan salad yang kemudiannya dituang sos keju ini biasa-biasa sahaja rasanya. Namun rasa sos keju yang memang serasi dengan kerangupan kulit ayam, nachos dan salad segar ini membuatkan menu ini berbaloi untuk dicuba. Gerai ini memang merupakan antara gerai yang dikunjungi oleh ramai pengunjung.

Ayam Lejen

6. Spicy Arabic Spiced Infused Drumstick – Broasted Chicken King

Ayam dari gerai Arab ini memang sedap. Kulit ayam yang rangup, ditambah dengan jusnya yang meleleh, dicicah pula dengan sos yogurt… Memang nikmat! Wedges yang dihidangkan sekali bersama ayam memang setara KFC!

Ayam Lejen

7. Chicken & Waffle with Spicy Maple Syrup – Chequers

Hirisan daging ayam bersama sos manis pedas memang merupakan kombinasi yang pelik bukan? Nampak macam tak kena. Tapi bila masuk sahaja ke dalam mulut, rasa ayam dan waffle ini memang menarik! Sos manis yang sedikit pedas, tekstur waffle yang lembut, rasa daging ayam yang rangup memang mampu buat anda beratur untuk kali kedua!

Ayam Lejen

Sambil menikmati menu ayam, pengunjung dihiburkan dengan telatah pengacara yang cukup sempoi dan kelakar. Kami sempat menyaksikan Cabaran Makan Kepak Raja Ayam Alif yang boleh disertai secara percuma sahaja. Diberikan masa 2 minit, peserta yang makan ayam paling banyak akan memenangi tajaan minyak Alif selama 6 bulan! Macam-macam gelagat mencuit hati dari peserta boleh dilihat semasa cabaran ini berlangsung.

Ayam Lejen
Sumber: Facebook Friedchillies

Antara gerai lain yang turut mengambil bahagian ialah gerai Lingham’s Chili Sauce, minyak masak jenama Alif (penaja makanan rasmi) dan tepung Bestari (penaja tepung rasmi). Para pengunjung boleh menikmati makanan mereka sama ada secara berdiri atau duduk selain daripada bersila di satu ruangan yang disediakan. Susun atur meja yang strategik menimbulkan suasana santai untuk dinikmati oleh para pengunjung sambil meratah menu ayam-ayam pilihan mereka.

Ayam Lejen
Sumber: Facebook Friedchillies
Ayam Lejen
Sumber: Facebook Friedchillies

Ayam Lejen

Secara keseluruhannya, Festival Ayam Goreng II Ayam Lejen ini memang perlu diadakan setiap tahun untuk setiap penggemar ayam berkongsi cerita dan bertukar pendapat antara satu sama lain selain daripada mencuba menu-menu ayam baru yang memang lejen! Oh ya, tidak lupa juga, keceriaan dan sifat ramah para petugas yang sentiasa menyambut para pengunjung dengan senyuman juga perlu diberikan pujian. Tahniah Friedchillies!

Anda yang ada pengalaman mengunjungi Festival Ayam ini bolehlah berkongsi dengan kami di ruangan komen Facebook MakanLena. Kalau festival ini dianjurkan lagi pada tahun depan, memang anda wajib pergi! Pasti tidak menyesal.