
Sambal kicap sangat terkenal di Johor dan wajib ketika makan bersama soto ataupun sebagai pencecah untuk pisang dan tempe goreng. Keenakan sambal kicap menarik selera sesiapa sahaja.
Membuat sambal kicap ini sangatlah mudah tetapi untuk menjadikannya lebih tahan lama disimpan mempunyai rahsianya yang tersendiri.
Jom kami kongsikan kepada anda tips membuat sambal kicap supaya dapat tahan lebih lama. Bila tiba masa nak guna sambal kicap, ambil sahaja stok simpanan yang telah dibuat. Memudahkan kerja dan menjimatkan masa.
Kredit Foto : PICSWE
1. Ambil beberapa biji cili api, bergantung kepada kepedasan yang anda inginkan.
2. Kupaskan 1-2 ulas bawang putih.
3. Basuh cili api dan bawang putih kemudian tapiskan.
4. Panaskan sedikit minyak dan tunggu sehingga minyak betul-betul panas.
5. Apabila minyak dah panas, tutupkan api dan masukkan cili api juga bawang putih. Tutupkan kuali dengan penutup periuk supaya minyak tidak terpercik.
6. Biarkan lebih kurang 5 minit.
7. Angkat dan tumbuk cili api juga bawang putih yang telah siap digoreng bersama sesudu gula dan juga kicap. Kalau anda gunakan cili api dalam kuantiti yang banyak, kicap juga perlu banyak.
8. Tumbuk sehingga lumat, kemudian tuangkan sambal kicap tadi ke dalam kuali dan masak sehingga pekat.
9. Apabila sambal kicap dah pekat dan likat, masukkan satu sudu cuka dan perahkan 2-3 biji limau supaya sambal kicap tadi ada rasa masam-masam sikit.
10. Akhir sekali, boleh tutup api dan masukkan sambal kicap ke dalam bekas untuk disejukkan. Apabila dah sejuk, boleh dimasukkan ke dalam peti sejuk.
Kredit Foto : MAKANMINUMLA
Jom gunakan tips yang kami kongsikan ini, sambal kicap pasti akan tahan lebih lama. Jika anda mempunyai tips lain untuk mengekalkan ketahanan sambal kicap, boleh dikongsikan bersama kami.
‘sharing is caring’.