
Pemilik kedai Donut City, John Chhan mengalami dilema setelah hampir 30 tahun menjalankan operasi perniagaan donutnya. Kedai yang bertempat di kawasan Seal Beach, California ini memang menjadi tumpuan kerana rasa donutnya yang enak dan gebu.
Kebiasaannya, John dan isterinya, Stella akan datang bersama untuk menguruskan kedai tersebut. Namun untuk beberapa hari, ketiadaan Stella di kedai tersebut telah menimbulkan tanda tanya buat pembeli setia mereka.

Setelah diberitahu bahawa Stella sedang menghidap penyakit aneurisme; berkaitan dengan kelemahan dinding arteri yang akan menyebabkan bengkak yang membesar secara tidak normal, pembeli menawarkan untuk memberikan bantuan kewangan kepada Stella. Namun John menolak secara baik.
Namun apa yang mengejutkan ialah cara mereka membantu John supaya dapat bersama-sama isterinya untuk sesi rehabilitasi. Mereka sanggup beratur untuk membeli donut dalam kuantiti yang banyak seawal jam 4.30 pagi!
Pada sebelum ini, John menghabiskan jualannya sekitar jam 3 petang, namun dengan bantuan para pembeli, kedainya boleh ditutup seawal 7.30 pagi dengan kuantiti donut yang terjual ialah 600 biji! Kejadian ini menyebabkan John terharu dan sangat berterima kasih kepada mereka.
Rata-rata pembeli memberikan maklum balas bahawa donut yang dijual oleh John sangat sedap dan gebu! Jika anda berada di sekitar kawasan Seal Beach, California dan ingin membeli dalam masa yang sama ingin membantu John, bolehlah ke sini. Namun anda diingatkan supaya pergi seawal yang mungkin jika tidak mahu menunggu dalam barisan yang panjang!