
Sejak Happy Meal diperkenalkan pada tahun 1979, produk makanan ini menjadi menu tetap McDonald’s dan juga menjadi makanan pilihan untuk makanan segera keluarga.
Namun hal yang sebaliknya berlaku kepada seorang bapa Kanada ini kerana menyaman restoran makanan segera popular, McDonald’s. Saman ini dibuat kerana dikatakan melanggar undang-undang pengiklanan kanak-kanak gara-gara anaknya menginginkan Happy Meal setiap minggu.
Antonio Bramante mendakwa bahawa rantaian makan segera itu melanggar peraturan pengiklanan di tempat tinggalnya di Quebec, Kanada. Produk makanan Happy Meal yang dikeluarkan Mcdonald’s itu menyasarkan pelanggan kanak-kanak berumur 13 tahun ke bawah.

Berdasarkan dokumen mahkamah, bapa kepada tiga orang anak itu menyatakan bahawa dia terpaksa makan Mcdonald’s sekurang-kurangnya sekali seminggu atas desakan anak-anaknya. Dia membelanjakan beratus dolar untuk Happy Meal yang mana sasaran produk makanan itu untuk golongan kanak-kanak.
Hal yang menjadikan isu saman ini berlaku adalah disebabkan mainan percuma Happy Meal yang datang dengan pelbagai jenis karakter filem popular kanak-kanak. Disebabkan itu, kanak-kanak tekad inginkan set lengkap karakter kegemaran mereka yang mana sedikit sebanyak memberi tekanan terhadap ibu bapa.
Bapa itu juga mendakwa bahawa syarikat restoran makanan segera itu sengaja menyasarkan golongan kanak-kanak dengan memaparkan mainan Happy Meal untuk membuatkan kanak-kanak leka menginginkannya. Namun, peguam Bramante berkata sebenarnya ia adalah perkara yang mudah untuk ibu bapa menangani masalah dengan bijak terhadap permintaan anak-anak mereka.
Menurut kenyataan peguam itu, McDonald’s perlu bertangungjawab menghormati undang-undang sedia ada sekurang-kurangnya di Quebec namun sebaliknya yang berlaku. Beliau juga menambah bagi sesiapa yang membeli Happy Meal di Quebec dari November 2013 boleh meminta tuntutan di mahkamah.

McDonald’s Canada memberitahu BBC bahawa mereka telah menerima tuntutan mahkamah dan akan menelitinya. Restoran makanan segera itu menyatakan mereka menyedari tanggungjawab mereka di bawah undang-undang pengiklanan Quebec dan bertegas bahawa mereka tidak percaya tindakan ini mempunyai merit yang dikenakan.
Sumber: Buzz Ireland