
Lembah Mansuli ialah lembah tertua daripada segi prasejarahnya di Borneo kerana mempunyai urutan budaya yang paling panjang bermula dari 235,000 hingga 3,000 tahun dahulu. Lembah ini akan berpotensi menjadi lokasi Indiana Jones ‘wannabes’ yang bakal menjadi tarikan pengunjung arkeo-pelancongan (pengunjung yang meminati bidang arkeologi dan tapak sejarah).

Lembah yang terletak di Lahad Datu ini mempunyai dua tapak arkeologi iaitu tapak penggalian Mansuli dan Gua Samang Buat. Penemuan tapak arkeologi di Lembah Mansuli telah menyumbang kepada pengetahuan yang lebih mendalam tentang budaya zaman Paleolitik, terutama pada penghijrahan awal manusia ke Borneo dan adaptasi mereka dengan persekitaran.
Potensi Lembah Mansuli untuk dijadikan sebagai kawasan tarikan pelancongan ini sedang dikaji oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dengan kerjasama Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan UMS di bawah program Sabah Sustainability Volun-sharing Programme (SSVP).
Kedua-dua pihak telah menjalankan program ini dengan bertujuan meneroka produk pelancongan baharu dan mendidik para peserta menjadi pelancong yang bertanggungjawab memulihara tapak khazanah Borneo ini.
Menurut Dr. Awangku, pengasas SSVP, arkeo-pelancongan mengintegrasi aktiviti pendidikan dan rekreasi seperti bersiar-siar, mendaki dan meneroka gua. Para peserta juga teruja untuk mengetahui Lahad Datu yang mempunyai laman prasejarah tertua di Borneo.

Sehingga ke hari ini, Lembah Mansuli belum terkenal sebagai destinasi pelancongan dalam kalangan arkeo-pelancong namun ia berpotensi pada masa akan datang. Pengasas SSVP turut menyatakan dengan mempromosi arkeo-pelancongan ini, pelancong dapat menikmati pengalaman mempelajari khazanah Borneo dan bertanggungjawab melindungi tapak arkeologi itu.
Apabila tapak itu sudah dibaangunkan dan dibuka kepada orang ramai, para pelancong boleh merasai pengalaman melihat tapak-tapak purba dan bersejarah di situ.
Sumber: The Star