
Salad Romaine merupakan salad yang kaya dengan besi, vitamin A dan C. Ciri daun yang panjang, batang daun kukuh (keras) di tengah menimbulkan rasa rangup atau ‘crispy‘ semasa mengunyah salad ini memang nikmat.
Namun pada November 2018, pihak berkuasa bahagian kesihatan di Amerika dan Kanada telah mengeluarkan amaran bahawa salad ini tidak boleh dimakan kerana sudah tercemar dengan bakteria E. coli. E. coli menyebabkan Hemolytic Uremic Syndrome yang mana akan menjejaskan darah dan saluran darah; memusnahkan platelet darah, kuantiti darah merah rendah dan kegagalan buah pinggang akibat daripada saluran darah yang kecil.
CDC yang masih tidak dapat mengesahkan punca salad ini tercemar dengan bakteria tersebut menasihati agar orang awam supaya jangan makan sayuran tersebut buat masa sekarang dan membuangnya jika sudah terbeli untuk mengelakkan kesihatan daripada terjejas. Kesan daripada makan salad yang sudah dijangkiti bakteria ini ialah muntah, cirit-birit dan kegagalan ginjal.
CDC dengan kerjasama daripada Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat (FDA) telah menyenaraikan beberapa makanan yang memerlukan pengawasan lebih kerana berisiko untuk dijangkiti wabak ini:
1. Sayuran yang berasaskan pucuk (Sprouts)
Sayuran daripada pucuk seperti taugeh memerlukan keadaan yang lembap untuk hidup dan ini juga merupakan kawasan yang ideal untuk pembiakan kuman. Untuk mengurangkan risiko penyakit, sayuran ini perlulah dimasak dan dibasuh dengan teliti.

2. Daging
Potongan daging yang besar dipotong kecil dan diasingkan sebelum disejuk beku akan membolehkan daging sejuk dalam masa yang singkat. Meninggalkan daging terlalu lama di dalam peti sejuk juga boleh menyebabkan pembiakan bakteria.
3. Telur
Jangan biarkan telur yang sudah dimasak atau hidangan yang berasaskan telur di luar peti sejuk melebihi dua jam atau satu jam jika suhu melebihi 32°C. Jika diletakkan di dalam peti sejuk jangan biarkan hidangan telur anda disimpan melebihi 3 atau 4 hari.
4. Susu mentah dan produk tenusu
CDC menyarankan agar menjauhi daripada makan produk yang dibuat dengan susu mentah seperti keju lembut dan susu mentah itu sendiri. Ini kerana produk susu mentah mengandungi kuman yang berbahaya termasuklah E. coli.

5. Daging yang diproses
Daging sosej yang termasuk dalam kategori daging diproses mungkin terlihat seperti sudah masak sepenuhnya, namun masih boleh mengandungi listeriosis (bakteria yang boleh dijumpai dalam daging tidak matang dan produk susu). Oleh itu, FDA mengesorkan untuk memanaskan semula daging yang diproses ini sehingga keluarnya wap daripada makanan tersebut.
Walaupun kes keracunan yang melibatkan salad Romaine ini belum menjangkiti Malaysia, namun kita perlulah turut berwaspada dan berjaga-jaga untuk mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini. Mencegahkan lebih baik daripada mengubati.
Bukan begitu?
Sumber: Malay Mail