
Impian lebih 20 peserta termasuk suri rumah mahu melancong ke Korea lebur kerana ditipu berhubung penipuan pakej pelancongan ke negara itu. Ketua Polis Perak Tengah berkata mereka sedang mencari suspek yang menjadi dalang penipuan pakej perlancongan bernilai RM202,785 bagi membantu siasatan.

Polis berkata siasatan dijalankan selepas menerima laporan dari salah seorang mangsa pada Isnin lalu. Ini berikutan mangsa menyedari ditipu selepas dia bersama 19 ahli kumpulannya terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2 selepas tiket yang dibeli mereka dibatalkan kerana dikatakan tiada pembayaran dibuat.
Suspek yang berasal dari Bukit Mertajam pada ketika itu bekerja sebagai pengurus teknologi maklumat menawarkan harga pekerja yang lebih murah berbanding harga di laman sesawang, membuatkan mangsa tertarik dengan pakej tersebut. Menurut mangsa, dia juga mengiklankan penjualan tiket ke semua destinasi di laman Facebook yang diminta bantuan oleh suspek untuk menjualnya dan mendapat sambutan ramai.
Malangya, kesemua pelanggan telah membuat pembayaran melalui akaun mangsa sebelum membuat pembayaran secara ansuran kepada suspek bermula awal tahun untuk urusan penerbangan ke Korea pada November 2018 dan perjalanan sekitar tahun 2019. Namun, apakan daya nasi sudah menjadi bubur apabila tiba waktu penerbangan, kesemua mangsa terkandas di lapangan terbang dan suspek tidak dapat dihubungi.

Susulan daripada kes ini, pelancong perlulah berhati-hati mempercayai pakej perlancongan yang ditawarkan lagi-lagi jika pakej pelancongan itu kelihatan murah daripada pakej yang selalu ditawarkan. Pelancong juga dinasihatkan menyemak senarai agensi travel di laman sesawang Kementerian Pelancongan untuk memastikan pelancong berurusan dengan agensi yang sah.
Selain itu, bakal pelancong perlu menyemak maklum balas di media sosial mengenai agensi yang mereka inginkan untuk lebih berwaspada. Apapun, sentiasalah lakukan persediaan awal dan pastikan berhubung dengan agensi yang sah.
Sumber: Sinar Harian