
Perkhidmatan BRT di Indonesia atau lebih dikenali sebagai TransJakarta merupakan sistem BRT yang pertama di Asia. Walaupun visual BRT ini tidak ‘gah’, namun ia menawarkan harga tiket yang murah dan perkhidmatan efektif kepada populasi penduduk Indonesia seramai 32 juta.
Harga tiket dari awal operasi BRT di Indonesia tidak pernah berubah sejak daripada sistem ini mula diperkenalkan pada tahun 2004. Dibina dengan menggunakan jalan yang sedia ada, teknik ringkas serta telah ditambah dan disesuaikan dengan keadaan sekeliling, sehingga kini lebih daripada 125 laluan dengan 2,000 buah bas yang beroperasi dan bilangan penumpangnya lebih daripada 650,000 setiap hari.
Berbeza dengan perkhidmatan MRT yang tampak lebih mewah, ekslusif dan gah namun memerlukan sekurang-kurangnya 250,000 penumpang sehari untuk mendapatkan pulangan modal. Menurut bekas timbalan menteri kewangan, Datuk Othman Aziz, pengangkutan ini hanya menyediakan perkhidmatan untuk sekitar 132,000 penumpang sahaja dan angka ini masih jauh dari sasaran.
Jadi apa yang membuatkan sistem perkhidmatan awam di Indonesia lebih menyerlah walaupun tanpa bermewah? Kuncinya ialah subsidi! Kerajaan Indonesia memberikan subsidi sekitar 3,500 rupiah untuk semua perjalanan penumpang tanpa bayaran tambahan!
Tahun 2018 sahaja, kerajaan Indonesia memperuntukkan $200 juta untuk subsidi perkhidmatan operasi walaupun sebahagian daripada dana tersebut masih lagi tidak digunakan. Secara amnya, perkhidmatan BRT ini berjaya mencapai matlamat perkhidmatan awam iaitu pengurangan masa dan kos tambang perjalanan.
Ya, memang kedua jenis perkhidmatan ini berbeza. Namun yang menjadi perkara pentingnya ialah pembinaan perkhidmatan awam adalah untuk mengurangkan kos hidup rakyat selain daripada menghubungkan rakyat dengan tempat-tempat tertentu, bukan?
Sumber: South China Morning Post