Saat melancong atau mengembara di destinasi tertentu, salah satu perkara yang perlu kita teliti ialah memilih penginapan.
Tahukah anda? Selain harga, lokasi dan fasiliti, ada beberapa perkara lain perlu dipertimbangkan sebelum membuat keputusan untuk menempah penginapan. Walaupun pelbagai persiapan sudah dilakukan, masih ada beberapa kesilapan yang tidak disedari.
Jom kita lihat apa kesilapan yang tidak disedari ketika menempah hotel.
1. Terlalu fokus kepada harga murah
Bagi para traveller yang mementingkan bajet, memilih penginapan dengan harga yang paling murah adalah perkara yang wajib dilakukan. Namun disebabkan perkara sebegitu, kadang kala akan lupa perkara lain seperti lokasi dan fasiliti yang ditawarkan di penginapan tersebut.
Jangan disebabkan mahu harga yang murah, anda memilih menginap di hotel yang lokasinya terpencil dan tidak strategik kerana sama juga anda perlu mengeluarkan bajet lebih untuk membiayai pengangkutan.
2. Tempah hotel pada saat-saat akhir
Menempah penginapan pada saat akhir tiada salahnya, tetapi sebaiknya dilakukan lebih awal sebelum melancong. Ia disebabkan harga penginapan jauh lebih murah jika menempah awal.
Selain itu, menempah hotel pada saat akhir tidak menjamin bilik hotel yang anda inginkan masih ada terutama ketika musim kemuncak.

3. Tempah hotel terlalu awal
Jika tadi membincangkan kesilapan pelancong menempah hotel pada saat akhir, tetapi jangan pula menempah hotel terlalu awal dari hari anda bertolak. Contohnya, menempah hotel dari enam bulan sebelumnya.
Dinasihatkan jangan terburu-buru berbuat sedemikian kerana mungkin sahaja anda mahu mengubah jadual atau destinasi percutian. Waktu paling ideal untuk menempah hotel ialah antara tiga atau empat minggu sebelum bertolak. Dengan itu, anda masih boleh mendapatkan harga penginapan yang berpatutan dengan jadual percutian yang lengkap.
4. Malas membandingkan harga
Mahu melancong dengan aman, perkara ini perlu dititikberatkan. Anda perlu meluangkan sedikit masa dengan membandingkan harga di beberapa laman tempahan hotel untuk mendapatkan harga yang lebih murah dengan penginapan yang sama.
Tetapi satu perkara yang perlu anda ingat, jangan tergoda dengan harga murah dari laman sesawang yang tidak jelas.
5. Malas membaca ulasan yang ada
Satu lagi kesilapan sebilangan traveller lakukan ialah malas membaca ulasan daripada pengunjung/ penginap sebelumnya. Ramai orang yang merasakan jika membaca ulasan, sangat membosankan dan membazirkan masa sahaja.
Padahal membaca ulasan dari pengunjung sebelumnya itu sangat penting. Dengan itu, kita dapat mengetahui keadaan sebenar hotel yang bakal kita kunjungi kerana kadang-kadang apa yang ditulis di laman mereka belum tentu sama dengan keadaan sebenar.
Untuk mendapatkan penginapan yang selesa dan tenang sepanjang bercuti, jangan lakukan lima kesilapan ini!
Sumber: IDN Times