4 Resipi Masakan Berasaskan Taucu

Taucu merupakan pes yang diperbuat daripada kacang soya yang telah direbus dan diperam. Masakan taucu secara umumnya dimasak oleh rakyat Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei. Ia digunakan sebagai rencah dan penyedap dalam masakan.

Selalu kita lihat masakan taucu yang popular ialah ikan goreng taucu berkuah. Sebenarnya, banyak lagi masakan lain yang boleh dihasilkan menggunakan taucu. Jadi, tidaklah bosan masakan taucu yang sama sahaja.

Jom, kita lihat koleksi resipi masakan berasaskan taucu.

1. Ayam Kukus Taucu Pedas

resipi taucu
Sumber: Rasa

Bahan-bahan:
6 ketul bahagian paha ayam, bersihkan dan potong kecil
1 biji bawang holand dicincang
1 labu bawang putih dicincang
6 cili merah dicincang
1 sudu besar taucu
1 sudu besar gula
4 sudu besar kicap cair
1 sudu besar minyak bijan
1 sudu besar sos tiram
2 sudu kecil serbuk pati ayam
Sedikit lada sulah

Cara memasak:
1. Gaulkan ayam bersama bahan-bahan di atas.
2. Panaskan pengukus dan kukus ayam selama 30 minit.
3. Setelah ayam masak, taburkan dengan hirisan daun bawang. Gaul rata dan kukus semula selama 10 minit.
4. Angkat dan sedia untuk dihidangkan.

2. Lala Tumis Taucu

resipi taucu
Sumber: Rasa


Bahan-bahan:

500gm lala
2 sudu makan taucu
1 sudu makan sos tiram
1 cawan daun selada
2 tangkai cili merah dihiris
4 ulas bawang merah dihiris
3 ulas bawang putih dititik
1 sudu makan cili kisar
Garam dan gula secukup rasa
Minyak masak untuk menumis secukupnya

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dalam kuali, tumiskan bawang merah dan putih hingga wangi.
2. Masukkan cili kisar, diikuti dengan taucu. Kacau rata.
3. Setelah pecah minyak, masukkan lala, gaul rata kemudian masukkan sos tiram dan perasakan dengan garam (jika perlu sebab taucu sudah masin) dan gula secukupnya
4. Akhir sekali masukkan daun selada, kacau 1-2 minit. Tutup api. Sedia dihidangkan panas-panas.

* Pastikan tumis lala tidak lebih dari 10 minit.

3. Ikan Siakap Kukus Taucu

resipi taucu
Sumber: Youtube

Bahan-bahan:
1 ekor ikan siakap
3 sudu makan taucu
2 sudu makan sos ikan
1 sudu makan air perahan limau
3 ulas bawang putih*
1 biji bawang besar*
1 inci halia*
1 batang serai*
1 tangkai cili besar*
1 biji tomato*
Daun sup dan bawang goreng

* Dihiris

Cara memasak:
1. Gaulka ikan bersama taucu, sos ikan dan air perahan limau.
2. Kemudian, taburkan semua bahan yang dihiris.
3. Kukus selama 20 minit.
4. Selama masak, taburkan daun sup dan bawang goreng.

4. Kangkung Goreng Taucu

resipi taucu
Sumber: Jari Intanku


Bahan-bahan:

1 cekak kangkung dicuci bersih
8 ekor udang
3/4 sudu makan taucu
1 sudu makan sos tiram
1 biji bawang besar dihiris
Garam atau sos ikan secukup rasa
1/3 cawan air

Bahan tumbuk hancur:

5 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1 biji cili merah
1 biji cili hijau

Cara memasak:
1. Panaskan minyak, tumis bahan-bahan tumbuk hancur hingga wangi, masukkan sos tiram dan taucu, kacau dan masak sekejap.
2. Kemudian masukkan udang, gaul rata dan tuang air. Biarkan mendidih dan udang bertukar warna, guna api sederhana dan kacau selalu.
3. Tambah hirisan bawang besar dan kangkung, besarkan api dan gaul kangkung tadi hingga rata. Perasakan dengan garam atau sos ikan.

Selamat mencuba!