Tiada Lagi Caj Tersembunyi Tiket Penerbangan Mulai 1 Jun

Ini suatu berita yang menggembirakan bagi para pengguna pengangkutan kapal terbang kerana tidak perlu lagi berdepan dengan caj tersembunyi selepas Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) telah meminda Kod Perlindungan Pengguna Penerbagan Malaysia 2016 (MACPC).

MACPC meminta syarikat penerbangan untuk mendedahkan harga akhir tiket penerbangan dalam iklan dan promosi jualan.

Syarikat penerbangan perlu mendedahkan harga selepas menambah caj-caj lain seperti cukai dan yuran yang dikenakan kerajaan serta surcaj bahan api. Ia juga bagi menghapuskan caj tersembunyi seperti yuran pentadbiran dan caj pembayaran kad.

tiada caj tiket penerbangan

Bayaran untuk perkhidmatan pilihan seperti bagasi, tempat duduk dan makanan juga perlu dipamerkan dan dimasukkan ke dalam harga akhir pembayaran. Peraturan ini bakal dikuatkuasakan mulai 1 Jun 2019.

Dalam peraturan baharu ini juga, pengguna boleh memohon bayaran balik tiket penerbangan yang tidak dapat membuat penerbangan dalam tempoh 30 hari setelah memohon, walaupun tiket yang dibeli melalui agen perjalanan.

Bayaran balik itu termasuk caj perkhidmatan penumpang, cukai tambahan lain, caj dan yuran.

Bagi membantu pengguna memahami hak mereka, Mavcom juga melancarkan platform FlySmart untuk membantu mereka memahami hak dengan lebih baik.

Platform ini membolehkan para pelancong mengemukakan aduan mereka dan mengesan status aduan mereka melalui aplikasi mudah alih atau di laman web FlySmart.

Sumber: The Star