Siapa sahaja yang tidak trauma sekiranya terjaga daripada tidur dan mendapati diri berada dalam pesawat di kawasan lapangan parkir pesawat. Tambah pula dengan keadaan sekeliling yang gelap gelita tanpa sebarang cahaya.
Pasti yang timbul di fikiran hanyalah perkara-perkara yang menakutkan, sama ada ianya hanyalah daripada imaginasi sendiri atau pun babak-babak seram di filem.
Seorang wanita, Tiffani Adams menceritakan pengalamannya yang tertinggal di dalam pesawat Air Canada semasa dalam perjalanan dari Quebec menuju ke Toronto.
Tiffani yang tertidur dengan posisi baring di barisan kerusi pesawat terkejut apabila beliau bangun daripada tidur dan mendapati dirinya berada di dalam pesawat gelap gelita dengan suhu yang terlalu sejuk di kawasan parkir lapangan terbang.
Menyangkakan semua itu hanyalah mimpi buruknya, Tiffani kemudiannya menyedari bahawa dia sebenarnya telah ‘ditinggalkan’ sendirian di dalam pesawat itu. Menambah kepada kekacauan itu, bateri telefonnya mati dan tidak boleh dicaj menggunakan plug kabel pesawat akibat daripada kuasa elektrik yang ditutup.
Berusaha keras untuk menenangkan diri daripada serangan panik, Tiffani memberanikan diri ke bahagian kokpit dan menemukan walkie talkie, namun ianya tidak berfungsi. Beliau kemudiannya bernasib baik menemui lampu suluh di kawasan tersebut dan Tiffani cuba melakukan isyarat kecemasan dengan harapan ada yang menyedarinya.
Dengan semangat mahu keluar daripada ‘mimpi buruk’ ini secepatnya, Tiffani melakukan cubaan membuka pintu utama dan berjaya. Namun tidak terhenti di situ, halangannya kini ialah jarak antara pintu dan tanah yang boleh mencecah 40-50 kaki.
Cubaan mendapatkan perhatian daripada krew lapangan gagal kerana jarak yang cukup jauh menyebabkan Tiffany terpaksa mencari tali untuk mendarat ke bawah dengan selamat. Tapi yang ada cumalah tali pinggang keselamatan, itu pun tidak cukup panjang untuk beliau bergantung.
Mahu atau tidak, Tiffani terpaksa bergantung kepada tali yang ada; pegang tali dan menghalakan lampu suluh pada bahagian tepi pesawat supaya refleksi dari hiasan akan menarik perhatian orang terdekat.
Akhirnya usaha beliau berjaya menarik perhatian seorang pemandu kereta bagasi dan beliau ‘dikeluarkan’ darpada mimpi ngeri itu.
Walaupun ditawarkan penginapan dan pengangkutan daripada wakil Air Canada, Tiffany menolak dan memberitahu bahawa beliau ingin pulang ke rumah kerana perlu bekerja dalam masa beberapa jam sahaja.
Sudah menerima permohonan maaf daripada pihak syarikat, Air Canada kini akan menjalankan siasatan mendalam bagi memastikan kejadian ini tidak akan berulang di masa akan datang.
Walaupun sudah 10 hari berlalu, Tiffani masih lagi mempunyai masalah tidur; bangun dalam keadaan terkejut dan ketakutan ditinggalkan berseorangan dan meminta sekiranya ada sesiapa yang pernah mengalami perkara sama tampil berkongsikan.
Sumber: Buzz.Travel
Menu kegemaran. Sedap dia lain macam.
Review McDonald’s Chicken Foldover & Nasi McD [#MLTapao – MakanLena]
dan jangan lupa subscribe Youtube MakanLena.