Orang-orang di sekitar Johor, Melaka dan Negeri Sembilan kini tidak perlu lagi bersusah payah menempuh perjalanan lebih daripada dua jam semata-mata mahu melayan kerenah anak-anak untuk merasai pengalaman bermain salji di i-City.
Pergi sahaja ke Rembau dengan menaip lokasi Rumah Salji Rembau di aplikasi Maps anda dan teruskan pemanduan mengikut arahannya.
Rumah salji yang dihasilkan dengan alatan dan barangan terpakai ini merupakan hasil idea daripada anak jati Negeri Sembilan di kawasan Chembong, Mohd Khairul Azman Mustakim, 31 tahun yang mahu merasai pengalaman dan suasana salji seperti di luar negara.
Walaupun pernah diketawakan oleh rakan-rakan yang menyangka ianya adalah idea mengarut, Mohd Khairul berjaya membuktikan bahawa dengan keazaman setiap impian boleh menjadi kenyataan; bersama sokongan isteri dan rakan-rakan rapat.
Idea Rumah Salji Rembau yang dibina di kawasan kampung dengan modal RM20,000 ini dirancang sejak tiga tahun lepas apabila beliau terlibat dengan perusahaan sejuk beku.
Dengan konsep lebih kurang seperti kawasan penyimpanan makanan sejuk beku, Mohd Khairul memberitahu antara cabaran utama yang paling besar beliau hadapi ialah bagaimana cara untuk mengekalkan ketahanan sejuk beku kepingan ais di sana.
Turut menghasilkan ais yang berbentuk seakan salji, Rumah Salji Rembau menjalankan operasi seawal jam 9 pagi sehingga 6.30 petang pada setiap hari Selasa hingga Ahad dengan bayaran semurah RM15 (kanak-kanak setahun hingga 17 tahun) dan RM5 (dewasa) termasuklah dengan sewaan baju sejuk dan kasut.
Berhasrat untuk meluaskan kawasan rumah salji sebanyak tiga kali ganda daripada keluasan sekarang, menambah lebih banyak alatan permainan dan membeli mesin proses ais, Rumah Salji Rembau ini mampu memuatkan sembilan orang kanak-kanak dan tiga orang dewasa dalam satu-satu masa.
Sudah menerima kunjungan seramai 1,000 orang sama ada daripada kalangan penduduk setempat mahupun pengunjung luar sejak dibuka, Mohd Khairul turut menjalankan perniagaan sejuk beku NKA Frozen yang boleh dibeli di sana.
Dengan lokasi yang strategik iaitu di kawasan tepi jalan, Mohd Khairul berharap agar Rumah Salji Rembau milik beliau mampu dipakejkan sebagai salah satu produk pelancongan di Rembau.
Orang-orang di sekitar sana yang mahu merasai pengalaman bermain salji dengan harga yang berbaloi bolehlah ke sini. Sambil-sambil itu dapat juga membantu perniagaan anak tempatan kita.
Sumber: Sinar Harian
Sedap ke dessert durian dekat IKEA tu? Kenalah cuba kalau nak tahu.
Review Kek, Puff, Tart dan Freppe Durian [#MLTapao – MakanLena]
dan jangan lupa subscribe Youtube MakanLena.