Sempena musim durian ini, boleh dikatakan topik berkaitan durian paling banyak dibualkan ketika ini.
Selain jenis durian dan harganya, topik tumpuan yang berkaitan durian ialah proses jual beli menggunakan timbangan.
Sesetengah pembeli berpandangan kaedah menjual durian secara timbangan seperti menindas pembeli kerana tidak semua isinya elok, malah kebiasaannya kulit lebih berat daripada isi.
Namun, menurut Pengarah FAMA, kaedah penjualan seperti itu tidak perlu diboikot kerana strategi pemasaran sudah berubah yang mana penentuan harga berdasarkan timbang kilo adalah lebih kompetitif.
Topik jual beli durian secara timbang sudah dibangkitkan sebelum ini. Contohnya soalan berkenaan isu itu pernah diajukan kepada Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri tiga tahun lalu.

Menurut penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan:
Soalan:
Assalamualaikum, tuan mufti. Adakah buah durian haram dijual mengikut sukatan kilogram kerana kulitnya lebih banyak dari isi?
Jawapan:
Waalaikumussalam, Kaedah menyebut: الأصل في العقود هو التراضي Maksudnya: Hukum asal dalam akad ialah keredaan kedua-dua belah pihak.
Dalam jual beli durian selalu yang menjadi masalah ialah apabila jual beli mengikut timbangan dan bukannya jenis dan kualiti durian itu.
Justeru, berlakulah situasi contohnya isi durian yang mengkal (tidak masak), busuk dan rosak. Di sini, pembeli menjadi tidak reda kerana manfaat yang dibeli tidak diperolehi.
Situasi ini bertepatan dengan sebuah hadis bahawa Rasulullah SAW menegur penjual kurma yang meletakkan kurma yang kering di atas kurma yang basah untuk mengaburi pelanggan. Sabda Rasulullah SAW:
أَفَلَا جَعَلْتَهُ فَوْقَ الطَّعَامِ كَيْ يَرَاهُ النَّاسُ، مَنْ غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي Maksudnya: Apakah engkau sengaja tidak meletakkan yang basah itu di atas takut dilihat orang? Barangsiapa yang menipu maka bukan daripada kalanganku – Hadis riwayat Imam Muslim (102)
Justeru, digalakkan melakukan akad jual beli durian dengan cara yang lebih jelas. Contohnya, dengan membuka sebahagian durian itu terlebih dahulu diketahui isinya.
Cara lain juga seperti yang dilakukan peniaga yang tular baru-baru ini dengan meletakkan buah di dalam bekas yang boleh dilihat oleh pelanggan. Dengan itu, pembeli dan penjual saling meredai dan hasil jualan juga diberkati.

Sumber: Sinar Harian