Resipi Mudah Gulai Rebung Ayam Gaya #SuperDaddy

Gulai ayam yang dicampur dengan rebung ini katanya berasal dari negeri utara. Hidangan yang mudah dan ringkas ala-ala tradisional ini memang amat digemari terutamanya dalam kalangan golongan penggemar masakan kampung.

Seorang ‘super daddy’ di Facebook, Khairul Abdullah berkongsikan resipi gulai rebung ayam yang sangat sedap dan mudah untuk disediakan. Masa yang diperlukan pun tidaklah lama.

Bahan-bahan:
*1 ekor ayam (boleh gunakan ayam biasa/ ayam kampung/ ayam pencen)
*1 bekas rebung (toskan)
**5 ulas bawang putih
**3 ulas bawang merah
**1 inci halia.
*1 batang kulit kayu manis
*2 kuntum bunga lawang
*2 tangkai daun kari
*2 peket serbuk kari daging
*2 sudu kerisik
*1 kotak santan

Resipi Gulai Rebung Ayam 1

Cara penyediaan:

1. Potong ayam kepada bahagian kecil, cuci dan toskan. Kalau anda gunakan ayam kampung atau ayam pencen, rebuskan terlebih dahulu bersama dua atau tiga helai daun nangka atau daun salam supaya ayam menjadi lembut.

2. Tumbuk, ricik halus atau kisar bahan bertanda **.

3. Tumiskan bahan ** bersama kulit kayu manis, bunga lawang dan daun kari sehingga naik bau dan berwarna sedikit kekuningan.

4. Masukkan rempah kari yang telah dibancuh dengan sedikit air. Kacau dan tambah suku cawan air lagi. Kacau lagi sehingga pecah minyak.

5. Masukkan santan dan tambah secawan air. Kacau dan tunggu mendidih.

5. Masukkan rebung dan kerisik. Tunggu mendidih.

6. Masukkan ayam dan tambah air sampai ayam semua tenggelam. Biar masak sekitar 10 minit dan masukkan garam secukup rasa. Biar sekitar 3 minit lagi dan siap. Tutup api.

Resipi Gulai Rebung Ayam 2

Senang sahaja bukan? Hidangkan bersama nasi panas dan sedikit kicap, pasti bertambah-tambah saiz hidangan.

Selamat mencuba!

Sumber: Khairul Abdullah

Hidangan di SeoulNami memang berbeza dari kedai-kedai Korea yang lain.

SeoulNami Korean BBQ, The Gardens Mall – #CubaRasa MakanLena

dan jangan lupa subscribe Youtube MakanLena.