Kuala Lumpur Tersenarai Bandar Raya Kedua Paling Mesra Di Dunia

Walaupun kita sering diperdengarkan mengenai isu-isu yang melibatkan perkauman, tetapi ia tidaklah merenggangkan hubungan kita sebagai warganegara Malaysia.

Kuala Lumpur adalah sebuah kota raya yang hidup tidak kira siang atau malam dan antara kawasan yang mempunyai penduduk yang padat dengan berbilang kaum. Ia menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar kedua paling mesra di dunia, menurut laman pelancongan global Big 7 Travel.

Ia berdasarkan kajian bahawa rakyat Malaysia sememangnya mudah mesra dan tidak kekok dengan warga asing. Kemesraan penduduk Kuala Lumpur dan begitu ramah terhadap pengunjung menunjukkan bahawa warga Malaysia sangat mudah untuk membuat teman.

“KL ialah destinasi utama untuk kedua-dua pelancong dan ekspatriat,” tulis Big 7 Travel di laman webnya.

Ibu negara Malaysia menduduki tempat kedua selepas bandar Vancouver, Kanada daripada 50 bandar mesra di dunia. Kajian itu dilakukan terhadap kira-kira 1.5 juta orang.

Bandar lain dalam senarai 10 teratas bandar mesra di dunia ialah Bruges, Belgium (tempat ketiga), Taipei, Hamburg, Dublin dan Christchurch. Manakala negara jiran kita yang tersenarai dalam 50 bandar mesra itu termasuklah bandar Chiang Mai (ke-11), Siem Reap (ke-20), Singapura (ke-24) dan Ho Chi Minh (ke-46).

Big 7 Travel juga menyatakan bahawa bandar-bandar yang tersenarai ini membuatkan mereka yang melancong ke bandar itu berasa amat dialu-alukan berdasarkan keramahan penduduk tempatan apabila mereka meminta bantuan.

Kuala Lumpur Bandar Mesra Dunia
Sumber: klia2

Laman web pelancongan itu juga menyifatkan bahawa bandar-bandar Asia kebanyakannya dinilai tinggi, dengan beberapa bandar raya AS dan Kanada yang menjadikannya sebagai Top 10. Pada awal tahun, laman itu menyenaraikan Malaysia antara top 20 bandar Insta-worthy.

Ini membuktikan Malaysia masih relevan di mata kaki travel untuk menjadikan negara ini sebagai destinasi pelancongan yang wajib pergi sekali seumur hidup.

Sumber: Big 7 Travel