Tahun 2020 merupakan tahun istimewa bagi rakyat Malaysia kerana bakal meraikan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020. Justeru pelbagai usaha dipergiatkan setiap negeri untuk menarik para pelancong daripada dalam dan luar negara.
Tiada salah untuk memperbaharui sesebuah destinasi demi menarik lebih ramai pelancong tetapi jika penambahbaikan itu tidaklah seindah apa yang disangka, sememangnya agak memalukan.
Terbaru, kecoh di laman sosial apabila satu sudut di Teluk Cempedak, Kuantan yang dikatakan sebagai sebuah tarikan baharu menerima kritikan netizen. Gambar-gambar yang dikongsi menunjukkan batu-bata berwarna-warni dengan berlatarbelakangkan pagar jeriji untuk meletakkan mangga ‘kunci cinta’ serta papan luncur digantung dengana nama pantai terkenal di Kuantan itu.
Pandang pertama netizen melihat gambar itu melahirkan rasa kecewa kerana sudut tersebut seolah-olah dibuat ala kadar sahaja. Ada yang mengatakan ia seperti rekaan yang dibuat oleh pelajar tadika.
Setelah menerima kritikan netizen, Majlis Perbandaran Kuantan tampil memberi penjelasan mengenai isu tersebut di akaun Facebook rasmi mereka.

Menurut Majlis Perbandaran Kuantan, ia adalah projek sementara bagi memberi kesedaran kepada orang awam supaya tidak membuang sampah di merata-rata tempat.
“Mesej yg ingin disampaikan, jika warna striking itu hodoh, jika papan tanda itu tidak menarik, apatah lagi timbunan sampah yang ditinggalkan oleh pengunjung saban hari?”

Bagaimanapun, bukankah itu suatu pembaziran jika sudah dicat dengan pelbagai warna dan kemudiannya dibersihkan semula? Apa pun, orang awam perlulah menitik berat dalam menjaga kebersihan pantai lebih-lebih lagi di kawasan yang sering dikunjungi pelancong.