Pelbagai resipi masakan sayur yang mudah dan sedap sesuai dimasak setiap hari. Jika anda sering masak sayur tumis, cuba diberi kelainan dengan memasak sayur goreng tepung.
Sayur goreng tepung sedap dimakan bersama hidangan ringkas nasi panas bercicahkan sambal belacan atau dijadikan sebagai kudapan ringan. Pelbagai jenis sayuran boleh dimasak bersalut tepung.
1. Bayam Salut Tepung

Bahan-bahan:
Daun bayam, pilih yang tebal dan lebar
200ml santan
150 gm tepung beras
Minyak goreng secukupnya
Bahan kisar:
3 butir buah keras disangai
1/2 ruas jari kunyit bakar
4 ulas bawang putih
1 sudu teh ketumbar disangai
1 inci lengkuas
Garam secukupnya
Cara memasak:
1. Campur dan satukan tepung dan serbuk halus, kacau sambil tambahkan santan hingga tercampur rata dan menjadi adunan lembut.
2. Celupkan daun bayam ke dalam adunan, lalu goreng hingga kedua sisinya berwarna perang. Angkat dan toskan minyak. Siap untuk dihidangkan.
2. Cendawan Enoki Goreng

Bahan-bahan:
2 bungkus cendawan enoki
100gm tepung gandum
50gm tepung beras
1 sudu teh tepung jagung
1 sudu teh garam
3/4 sudu teh serbuk penaik
1/2 sudu teh serbuk pati ayam
1/4 sudu teh lada sulah
Cara memasak:
1. Campurkan semua bahan tepung gaul rata. Ambil empat sudu makan bahan tepung dan campurkan dengan empat sudu makan air sejuk.
2. Kacau rata hingga sebati, tidak terlalu cair atau pekat.
3. Gaulkan cendawan dalam bahan bancuhan tepung. Kemudian salutkannya dalam bekas berisi bahan tepung kering.
4. Apabila minyak cukup panas gorengkan cendawan hingga kuning keperangaan.
5. Angkat, tos dan hidangkan dengan sos pilihan anda.
3. Brokoli Rangup

Bahan-bahan:
1 biji brokoli
2 biji telur
Tepung goreng serbaguna secukupnya
Minyak untuk menggoreng secukupnya
Cara masak:
1. Rendam brokoli dalam air garam, biarkan 10 minit. Cuci bersih dan potong dadu.
2. Panaskan air dalam periuk, setelah mendidih, celur seketika brokoli. Kemudian tos.
3. Pecahkan telur dalam mangkuk, kacau rata. Panaskan minyak dalam kuali.
4. Celupkan brokoli dalam telur, kemudian gaulkan dalam tepung goreng serbaguna.(jika ingin lebih tebal boleh ulang proses celup dan gaul sekali lagi).
5. Goreng hingga kuning keperangan. Angkat dan hidangkan panas-panas dengan sos pilihan anda.
4. Kangkung Rangup

Bahan-bahan:
Kangkung
6 sudu makan tepung gandum
2 sudu makan tepung beras
1 sudu teh perasa cendawan
1 sudu teh serbuk lada sulah
Air sejuk secukupnya
Minyak masak untuk menggoreng secukupnya
Cara memasak:
1. Campurkan semua bahan bancuhan tepung dalam mangkuk.
2. Masukkan air sejuk, sambil kacau perlahan-lahan hingga sebati (adunan tidak terlalu pekat atau cair).
3. Panaskan minyak dalam kuali (pastikan minyak banyak dan panas).
4. Celupkan potongan kangkung dalam adunan, lalu masukkan dalam kuali satu persatu. Goreng hinggga garing.
5. Terung Goreng Tepung

Bahan-bahan:
Terung
1 biji telur
Serbuk lada hitam
Garam secukupnya
Minyak
Cara memasak:
1. Hiris terung, pukul telur dan gaul bersama serbuk lada hitam dan garam.
2. Salut hirisan terung bersama telur dan goreng sehinga keperangan.
3. Tos dan hidang bersama sos.
6. Buncis Goreng Tepung

Bahan-bahan:
Kacang buncis
Tepung beras
Sedikit serbuk kunyit
Sedikit serbuk lada hitam
Secubit garam halus
Air secukupnya
Minyak untuk menggoreng
Cara memasak:
1. Hiris kacang buncis kepada dua atau tiga bahagian.
2. Campurkan tepung, garam, serbuk kunyit, serbuk lada hitam dan garam. Tuang air sehingga adunan pekat.
3. Celupkan kacang buncis ke dalam adunan dan goreng satu-persatu sehingga kuning keemasan.
7. Lobak merah goreng tepung

Bahan-bahan:
Lobak merah
Sebiji telur
Tepung serbaguna
Tepung beras
Cara memasak:
1. Hiris lobak merah seperti kentang goreng, kemudian kukus hingga empuk.
2. Campurkan tepung serbaguna, tepung beras dan telur.
3. Celup lobak merah tadi ke dalam adunan tepung dan gorenng sehingga kuning keemasan.
Selamat mencuba!