COVID-19: Pusat Sains, Muzium Negara Dan 8 Lagi Tempat Tumpuan Pelancong Ditutup

Memandangkan minggu cuti sekolah sedang berlangsung selama seminggu dan dengan berlakunya penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang semakin meningkat di negara ini, Pusat Sains Negara dan sembilan lagi tempat tumpuan pelancong ditutup mulai hari ini buat sementara waktu.

Penutupan operasi buat sementara waktu bagi Pusat Sains Negara dan Planetarium Negara itu disahkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menerusi akaun Twitter rasmi beliau.

“Pusat Sains Negara dan Planetarium Negara ditutup sehingga keadaan mengizinkan,” katanya menerusi kenyataan di Twitter.

Beliau yang menjangkakan ramai pelajar ingin mengunjungi kedua-dua pusat di bawah seliaan kementerian itu sempena cuti sekolah, berkata kesihatan rakyat perlu sentiasa diutamakan.

Pusat Sains Negara Ditutup COVID-19

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) mengambil berat berhubung penularan Covid-19 dan akan bekerjasama rapat dengan KKM dalam mendepani gejala itu.

Sementara itu, sembilan kemudahan awam kendalian Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan turut ditutup bermula hari ini sehingga 30 April depan.

Tempat yang terlibat ialah Jabatan Muzium Malaysia, Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Jabatan Warisan Negara, Arkib Negara dan Kraftangan, Perpustakaan Negara, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Istana Budaya dan Pusat Pelancongan Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, semua ketua jabatan dan agensi sudah diarahkan untuk menutup fasiliti awam di bawah seliaan masing-masing dan melakukan disinfektasi di semua ruangan kunjungan terbabit.

Dalam pada itu, kementerian turut menasihati orang ramai agar mengamalkan penjagaan kesihatan diri yang baik pada setiap masa dan meminta mereka menghubungi pejabat kesihatan daerah berhampiran atau Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) Kebangsaan jika mengalami gejala jangkitan.

Pusat Sains Negara Ditutup COVID-19

Justeru, orang ramai turut dinasihati menangguhkan segala aktiviti yang melibatkan orang ramai buat sementara waktu demi mengekang wabak Covid-19 ini merebak dan keadaan kembali normal.