‘Dah Ikut Resipi Tapi Tak Menjadi’, Ketahui 6 Tip Penting Mengenai Ketuhar

Tip Penting Mengenai Ketuhar.

Semakin ramai yang suka membuat kek apabila semakin banyak resipi yang timbul di arus perdana ini.

Tetapi yang menjadi masalah bagi mereka yang baru berkecimpung dalam dunia kek, sering mengeluh apabila kek yang dibuat tidak menjadi walaupun sudah mengikut resipi yang diberi.

Pastilah kita berasa hampa dan mengatakan pemberi resipi itu salah, betul kan? Lazimnya, masalah yang dihadapi adalah masalah kek menjadi bantat, tidak sekata, tidak cukup kering dan merekah.

Salah satu puncanya adalah kerana kurang ilmu, iaitu kurang ilmu tentang ketuhar yang digunakan.

Bagi anda yang ingin membeli ketuhar, pasti akan tertanya-tanya begitu banyak jenis-jenis ketuhar yang berada di pasaran dan sememangya setiap ketuhar ini ada fungsi tersendiri.

Di sini, kami kongsikan mengenai tip penting fungsi dan jenis-jenis ketuhar untuk pemahaman lebih lanjut.

Jenis-jenis ketuhar
:

Di dalam proses membuat kek, pastri dan roti, bukan sahaja kemahiran yang di perlukan untuk memdapatkan hasil yang terbaik tetapi ketuhar juga memainkan peranan yang amat penting.

Ketuhar jenis bina dalam (Built in Oven)

Jenis dan Fungsi Ketuhar

Ketuhar jenis ini memang cukup sesuai untuk kesemua jenis pembakaran. Boleh membakar roti, kek, pastri dan biskut. Bergantung kepada jenama yang anda beli, ada sesetengah ketuhar jenis begini, kepanasan nya tidak begitu rata jika anda membakar 2 atau 2 tingkat (2 tier baking).

Kalau anda membakar biskut cara begini, anda harus rajin memusing dan menukarkan loyang kuih anda supaya mendapat kepanasan yang lebih rata (rotate the trays to get even baking results). Tetapi apabila membakar kek, lebih baik jika kita membakar satu tingkat sahaja.

Ketuhar berkipas (Oven with Fan)

Jenis dan Fungsi Ketuhar

Ketuhar yang mempunyai kipas bina dalam selalunya membakar biskut dan pastri dengan cukup baik kerana kipas itu memutar angin panas dengan rata jika kita membakar dua atau tiga tingkat. Tetapi apabila di gunakan untuk membakar kek, kipas ini akan mengeringkan kek sedikit.

Jadi jika ada pilihan untuk tidak membuka kaedah kipas nya apabila membuat kek, itu lebih baik. Tetapi jika kita tidak boleh memilih untuk menutupnya, pilihan terbaik kurangkan sedikit masa membakar kek itu.

Contohnya, jika kek itu memerlukan masa 45 minit untuk membakarnya di ketuhar biasa, kita kurangkan masanya dalam 5 minit lebih awal jika kita menggunakan ketuhar yang ada kipas ini supaya kek nya tidak kering sangat.

Ketuhar microwave (Microwave Oven)

Jenis dan Fungsi Ketuhar

Ketuhar jenis ini adalah seperti ketuhar dua dalam satu iaitu boleh digunakan untuk fungsi ‘microwave’ dan juga untuk membakar biskut, brownie atau kek-kek cawan.

Ketuhar begini sesuai bagi mereka yang jarang membuat kek yang besar. Jika kita membakar kek yang agak besar, ada kala nya bahagian tengah kek tidak masak dengan betul.

Selalunya, kita lebih mengguna fungsi microwavenya sahaja jadi bagi mereka yang suka membakar roti, pastri dan kek-kek perayaan, jenis ketuhar sebegini mungkin kurang sesuai dan kek-kek yang di bakar di microwave oven sebegini selalunya kelihatan agak pucat dan padat.

Fungsi-fungsi pada ketuhar

Kebanyakan ketuhar bina dalam mempunyai fungsi yang agak sama iaitu:

Top and Bottom Heat

Ini cukup sesuai untuk membakar semua jenis kek, biskut pastri dan roti. Jika kita membakar kek yang agak besar sedikit, kita harus meletakan kek itu di rak agak bawah sedikit tetapi jika membakar roti dan pastri, lebih sesuai jika kita meletakkannya di rack tengah sahaja.

Top Heat Only

Ramai yang keliru apabila melihat fungsi ini. Mereka sangkakan yang Top Heat sesuai untuk membakar kek lapis. Sebenarnya Top Heat ini lebih sesuai di gunakan apabila kita membakar cheesecake. Jika digunakan untuk membakar kek lapis, nanti kek lapis itu akan menjadi terlalu kering dan adakalanya garing.

Bottom Heat Only

Fungsi Bottom heat ini cukup sesuai jika kita ingin menggaringkan roti yang berinti seperti piza. Adakalanya, inti piza itu sudah masak tetapi bahagian bawah rotinya pula masih kurang garing atau lembab. Di sinilah kita menggunakan fungsi bottom heat untuk memasakkan roti itu tanpa mengeringkan dan memasakkan inti atas piza.

Gril

Inilah fungsi utama apabila kita membakar kek lapis. Dengan menggunakan gril, setiap lapisan kek lapis kita pasti menjadi dengan cantik dan tidak menjadi kering. Api gril ini juga cukup sesuai jika kita ingin mengaringkan hanya bahagian atas ayam atau daging untuk sekejap sahaja.

Steam Injection

Tidak semua ketuhar ada fungsi ini. Fungsi ini cukup sesuai jika kita ingin membakar sesetengah jenis roti seperti roti perancis yang akan menggaringkan dan meranggupkan pemukaan roti itu.

Suhu

Pastikan anda tahu jenis suhu ketuhar anda untuk mengetahui jenis masakan yang anda lakukan agar tidak menghasilkan rasa hangit atau hangus pada kuih semasa proses pembakaran dilakukan. Setiap saiz ketuhar mempunyai suhu kepanasan yang berbeza. Dapatkan nasihat daripada pakar penjual sebelum membuat belian terlebih dahulu.

Semoga bermanfaat membaca tip penting ketuhar ini!

Sumber: Chef Siti Mastura