Tidak tahu sejak bila tapi pastinya berkelah atau berpiknik telah menjadi aktiviti trending masyarakat Malaysia untuk bersantai bersama orang-orang tersayang.
Salah satu kawasan lapang yang menjadi tumpuan orang ramai adalah di sekitar Putrajaya kerana terdapat banyak taman rekreasi yang amat sesuai untuk bersantai.
Antaranya yang menjadi tumpuan ialah Taman Saujana Hijau di Putrajaya kerana pemandangannya yang amat memukau dan menarik untuk bersantai.
Jika sudah ada kawasan untuk berpiknik, mesti buntu makanan apa yang sesuai untuk dibawa bersama?
Kita pastilah mahu makanan yang dibawa itu tidak renyah dan mengenyangkan dan dalam masa yang sama ia tampak menarik untuk bergambar, bukan?
Di sini kami berikan 5 pilihan makanan yang amat sesuai dan mudah untuk anda bawa pergi berkelah.
1. Sushi Sandwic

Bukan sahaja hidangan ini berkhasiat, tapi rasanya juga pasti dapat meningkatkan selera sesiapa sahaja.
Bahan-bahan:
Seaweed roasted potong dua (beli khas untuk buat sushi)
Beberapa keping roti yang dibuang tepinya
Salad
Mayonis
Sayur seperti timun atau lobak merah dipotong halus memanjang
Sosej atau isi ketam dicelur dan dipotong
Cara membuat:
Cara sama seperti membuat sushi roll. Cumanya sushi biasa menggunakan nasi tapi untuk resipi ini gantikan dengan roti. Kemudian, hiaskan dengan sos mayonis, sos cili atau thousand island.
2. Sushi Bite
Bahan nasi sushi:
Satu setengah cawan beras sushi (beras biasa pun boleh)
2 cawan air
1/3 cawan cuka
2 sudu makan gula
1 sudu teh garam
Bahan inti:
2 keping seaweed dihiris halus
1 bij cili merah dihiris halus
3 biji cendawan kering shitake direndam dan dicincang halus
1/2 batang merah dicincang halus
4 batang isi ketam dihiris halus
Cara membuat:
1. Basuh beras sehingga bersih dan toskan.
2. Masukkan beras ke dalam periuk dan masukkan air, gula dan garam secukup rasa.
3. Apabila nasi masak, gaulkan nasi dengan cuka sehingga sebati.
4. Campurkan bahan-bahan inti yang telah dihiris halus ke dalam nasi tadi. Gaulkan sehingga sebati. Kepalkan nasi tadi mengikut citarasa anda. Sedia untuk dihidangkan.
3. Popia inti daging

Bahan-bahan:
1biji bawang besar dicincang halus
2ulas bawang putih dicincang halus
200gm daging kisar
1 sudu teh serbuk lada hitam
100 gm kacang panjang hiris halus
1/2 batang lobak merah hiris halus
1 bungkus kulit popia
Garam dan serbuk perasa secukupnya
Cara membuat:
1. Panaskan minyak. Tumis bawang merah dan bawang putih sehingga garing. Masukkan daging kisar. Gaul rata.
2. Masukkan kacang panjang dan lobak merah. Gaul lagi dan tambahkan serbuk lada hitam dan garam secukup rasa.
3. Apabila inti sejuk, boleh mulakan untuk menggulung popia. Panaskan minyak dan goreng sehingga kekuningan.
4. Popia sedia dihidangkan bersama sos cili atau mayonis.
4. Croissant Tuna
Bahan-bahan:
Roti croissant
2 tin tuna dalam minyak
1 biji bawang Holland
1 sudu teh serbuk lada hitam
½ sudu teh garam
3 sudu makan mayonis
1 sudu teh jus perahan lemon
Salad secukpnya
Hirisan tomato
Kepingan keju cheddar
Cara membuat:
1. Tapis dan lenyekkan tuna, tambahkan bawang holland, serbuk lada hitam, garam, mayonis dan perahan lemon. Gaul rata dan sedia diguna sebagai inti.
2. Belah bahagian tengah croissant, sapukan mentega di dalamnya dan letakkan sekeping keju cheddar, salad dan tomato, kemudian diikuti dengan tuna. Siap untuk dihidangkan.
5. Golden Egg ala Sushi King
Bahan-bahan:
Telur ayam direbus dan dikupas kulitnya
Minyak untuk menggoreng
Bahan salut
Telur ayam dipukul
Tepung tempura
Breadcrumb secukupnya
Cara membuat:
1. Didihkan air dan rebuskan telur ayam sehingga masak. Apabila telur telah sejuk kupaskan kulitnya.
2. Celupkan telur tadi dengan telur yang telah dipukul dengan rata.
3. Salutkan pula dengan tepung tempura sehingga rata. Ulang dua kali, kemudian celupkan semula dengan telur.
4. Akhir sekali salutkan sehingga rata dengan breadcrumb (serbuk roti kuning, boleh dibeli di pasar raya.) Buat sehingga habis.
5. Panaskan minyak dan gorengkan sehingga kuning keemasan. Angkat dan ketepikan.
6. Biarkan sejuk dan di potong tengah-tengahnya.
Bahan topping:
Filamen ketam
Mayonis
Cara membuat:
Rebus sebentar filamen ketam. Angkat dan toskan. Hiris halus filamen ketam tadi. Campurkan dengan mayonis dan gaul rata.
Selamat mencuba!