Demi Tabung Harapan, Restoran Nasi Kandar Pelita Sumbangkan RM100,000

Nasi Kandar Pelita tidak asing lagi bagi rakyat Malaysia khasnya kepada penggemar masakan mamak. Kualiti masakannya yang enak mampu menarik ramai pengunjung hadir ke premis mereka termasuklah pelancong asing.

Terbaru, rangkaian restoran ini yang bernaung di bawah syarikat Rangkaian Nasi Kandar Pelita Samudra Pertama (M) Sdn Bhd telah menghulur sumbangan kepada Tabung Harapan Malaysia berjumlah RM100,000.

Menurut Pengerusi Eksekutif restoran Pelita, Datuk Shamsuri Ahmad, derma yang dilaksanakan terhadap Tabung Harapan merupakan satu tanggungjawab sosial dan tanda semangat patriotisme kepada negara.

Sumbangan tersebut telah diserahkan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Pelita di Butterworth, Pulau Pinang.

Semoga sumbangan badan korporat dapat ditambah dari semasa ke semasa bagi membantu negara mengurangkan beban hutang.

Sumber: Bernama