
Masing-masing masih dalam mood beraya lagi ke sekarang? Maklum sajalah, raya kan sebulan dan sudah tentu sebulan ni sibuk memenuhi undangan ke rumah terbuka kenalan dan pejabat, atau anda juga mungkin sedang pening merancang untuk membuat ‘open house’, bukan?
Perlu ke buat rumah terbuka? Kalau hendak ikutkan, tanggapan rumah terbuka sebenarnya tidak perlu tunggu pada hari raya. Mungkin sudah menjadi trend terutamanya kepada masyarakat kita pada hari ini untuk meraikan sanak saudara, jiran tetangga mahupun rakan sekerja, lagipun ia bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim, malahan mungkin yang solo dapat bertemu jodoh.
Nah, kami berikan beberapa tip atau panduan ringkas untuk anda dan semoga perkongsian ini dapat membantu.
Bajet yang Mencukupi
Perkara pertama dan utama yang perlu dipertimbangkan ialah pastikan anda mempunyai bajet yang mencukupi.
Sebelum fikir menu atau bila masa yang sesuai untuk buat rumah terbuka, fikir dulu bajet anda. Bajet ini termasuklah kos belanja makanan, bilangan tetamu yang diundang, peralatan penyediaan makanan, duit raya yang ingin diberi (jika mahu) dan tempat majlis (jika ingin menyewa).
Perlu ingat, jika ramai tetamu yang diundang, maka bajetnya juga akan lebih besar.
Jumlah Tetamu Diundang
Buat senarai nama tetamu yang bakal diundang. Jika tetamu tersebut sudah berkeluarga, pastikan anda dapat mengagak berapa ramai ahli yang akan dibawanya bersama. Bukan apa, jika terlalu ramai nanti mungkin timbul kesulitan dari segi jumlah makanan dan juga ruang.
Pilihan Menu Yang Menepati
Memilih menu adalah perkara yang paling memeningkan. Kalau anda perasan, katerer juga biasanya menawarkan hidangan set lengkap jika anda panggil mereka untuk majlis-majlis besar seperti majlis perkahwinan, cukur jambul atau majlis hari lahir anak.
Jadilah tuan rumah yang bijak dan jimat. Tak perlu fikir berapa banyak juadah yang perlu dihidang. Untuk mudah, pilih sahaja set hidangan lengkap seperti nasi ayam, nasi tomato, atau nasi beriyani. Kemudian pencuci mulut dan kuih-muih sebagai tambahan.
Air pula cukuplah sekadar 2-3 jenis sahaja seperti air mineral, air kordial/jus dan air panas kopi/teh.
Setkan Masa Majlis
Masa sangat penting bagi meraikan tetamu yang datang berkunjung dan ia juga bergantung kepada bajet anda.
Jika bajet anda sekadarnya sahaja, buat ketetapan masa tertentu. Misalnya waktu pagi antara jam 9 pagi hingga 12 tengah hari, antara 12 tengahari hingga 4 petang, atau antara jam 6 petang hingga 10 malam.
Percayalah jika anda sudah setkan masa undangan sebegini, anda dapat menjimatkan bajet selain punya masa berehat setelah melayan tetamu.
Pilihan Tempat yang Selesa
Kebanyakan orang bandar mempunyai masalah ini jika ingin mengadakan majlis rumah terbuka. Terutamanya bagi mereka yang mendiami kawasan rumah taman, pangsapuri, apartment dan kondominium.
Jika ramai tetamu yang dijemput, sebaiknya cari alternatif tempat seperti buat di Dewan Komuniti, rumah kelab atau taman. Namun, masih ada risiko dan sedikit masalah seperti pembuangan sampah, penyediaan peralatan dan faktor cuaca. Perkara ini bukan menjimatkan, malahan merugikan dan memenatkan tuan rumah.
Kan lebih seronok dan jimat sekiranya dapat buat rumah terbuka di rumah sendiri. Cuma, pastikan anda buat sedikit susun atur bagi perabot yang besar seperti sofa, meja makan dan perabot lain yang berkaitan supaya ruang tamu nampak lebih luas dan selesa untuk tetamu duduk makan sambil beramah mesra.
Sediakan Ruang dan Kemudahan
Jangan terlepas pandang ya hal sebegini kerana anda perlu sedia maklum ada tetamu yang datang berkunjung mereka memang memerlukan tandas, tempat solat, telekung dan tempat menukar lampin anak.
Oleh itu, pastikan rumah anda ada menyediakan kemudahan tersebut.
Layan Tetamu
Tip ini juga tak kurang pentingnya dan ada yang beranggapan pandai-pandailah tetamu melayan diri sebab makanan sudah terhidang. Ada juga tetamu yang sudah datang tetapi tuan rumah masih lagi di dapur menyediakan juadah.
Tak seronoklah begitu.
Jika tetamu sudah dijemput, anda sebagai tuan rumah raikan dan layanlah mereka. Bagi mengelakkan hal ini berlaku, sebaiknya sediakan segala juadah dan kelengkapan untuk menjamu selera awal-awal lagi sebelum waktu ketibaan tetamu.
Guna Peralatan Pakai Buang
Rasanya tak perlu keluarkan pinggan dan mangkuk kaca kerana ia kurang sesuai untuk tetamu yang membawa anak-anak kecil. Jika ada bajet sedikit, apa kata gunakan sahaja pinggan mangkuk dan cawan plastik atau kertas.
Anda pun dah boleh duduk berehat dan tak perlu susah payah lagi duduk di dapur menyelesaikan kerja-kerja membasuh cawan, gelas dan pinggan mangkuk.
Oh ya, jangan lupa pula sediakan plastik hitam di setiap sudut atau tepi meja hidangan bagi memudahkan tetamu membuang sisa makanan dan sampah mereka. Cara ini juga dapat mengurangkan bebanan anda untuk mengemas rumah setelah selesai majlis tersebut.