
Pesta durian nampaknya masih belum reda. Sana sini banyak kedai tepi-tepi jalan menjual longgokan durian dengan harga borong yang murah. Benda yang paling hot dan viral pasal durian hari ni ialah Durian Crepe. Ada yang tengah teringin ke? Sekarang agak mudah kalau nak dapat durian crepe. Ada yang jual di kedai kek, gerai kuih, kedai online, special delivery order yang hantar sampai rumah pun ada.
Sebenarnya tak adalah susah sangat nak buat durian crepe ni asalkan tau bahan apa nak digunakan dan cara melipat ‘bantal’nya. Jadi, kami kongsikan resepi durian crepe homemade yang paling sedap dan pasti repeat berulang kali. Selamat mencuba!
Penyediaan Bahan-Bahan Durian Crepe
Struktur durian crepe ni terbahagi kepada dua:
- lapisan kulit (atau kulit Crepe) dan,
- filling (kastard bersama durian dan whipping cream).
Berikut adalah senarai bahan-bahan yang diperlukan:
1. Bahan-bahan untuk kulit Crepe (untuk hasilkan 18 – 20 keping):
- 1 sudu besar tepung gandum
- 1 sudu besar tepung jagung
- 1 sudu besar tepung ubi kayu
- 1 sudu besar tepung ubi kentang
- 1 sudu besar tepung kastard
- 1 1/2 sudu besar tepung hong kong (nama lainnya tepung ‘water lily’)
- sedikit garam
- 2 sudu besar gula icing
- 2 biji telur saiz B
- 1 sudu besar minyak jagung
- 3/4 cawan air (210ml)
- 1/2 cawan susu segar (130ml)
- sedikit esen vanilla
- beberapa titik bahan pewarna – warna kuning (opsyenal)
2. Bahan-Bahan untuk Filling (kastard bersama durian dan whipping cream):
Filling kastard bersama durian
- 2 sudu besar gula
- 20 gm tepung kastard
- 250 ml susu segar
- 2 biji kuning telur
- 5~6 ulas durian yang telah dibuang bijinya dan diramas-ramas (bergantung kepada besar ulas dan jenis durian)
Filling Whipping Cream
- 500gm whipping cream
- 2 sudu besar gula icing (jika kurang manis)
Teknik #1: Menghasilkan Kulit Crepe Yang Mulus Gebu
- Campurkan 6 jenis tepung di atas dan di ayak sekali.
- Masukkan ke dalam satu bekas untuk mengadun.
- Masukkan garam, gula icing, minyak jagung, esen vanilla, telur yang telah dipukul sebati, air, susu segar dan bahan pewarna kuning.
- Kacau adunan menggunakan ‘whisk’ tangan sehingga sebati dan tapiskan.
- Panaskan ‘non-stick pan’ bersaiz kecil (17cm diameter tapak) dengan menggunakan api sederhana.
- Sapu sedikit minyak pada dasar pan.
- Apabila pan sudah panas, angkat dan masukkan 1 senduk adunan ke dalam pan.
- Ratakan adunan crepe dengan cara melenggangkan pan sehingga ia agak nipis dan sekata memenuhi keseluruhan ruang pan.
- Letak sebentar pan di atas api dan kemudian angkat apabila crepe sudah masak. Tak perlu terbalikkan crepe ya!.
- Ulangi langkah 6 ~ 9 untuk hasilkan lapisan crepe sehingga habis adunan.
Tips:
- Pastikan adunan diadun sebati dan cermat tanpa buih-buih halus, kalau tak crepe akan ada lubang pori-pori selepas di masak. Kang hilang rasa mulus dan gebu pulak.
- Teknik lenggang tu lebih kurang sama macam melayang kuali masa masak lempeng atau pancake. Cuma pan di angkat dan tak perlu pakai sudu atau sudip untuk meratakan adunan.
- Tak perlu terbalikkan lapisan crepe dalam pan kerana dah nipis dan mudah masak sekata.
- Crepe yang dah masak elok boleh ditindan-tindan atas piring. In Shaa Allah tak melekat.
Teknik #2: Cara Membuat Filling Kastard bersama Durian
- Masukkan tepung kastard, gula, 2 biji kuning telur dan sedikit susu segar (lebih kurang 4 sudu) ke dalam ‘non-stick pan’.
- Kacau kesemuanya sehingga sebati.
- Tuangkan baki susu segar dan kacau sekali lagi sampai sebati.
- Masak adunan menggunakan api sederhana sehingga menjadi agak kental dan pekat. Tutup api dan biarkan sementara untuk sejukkan filling kastard.
- Masukkan isi durian yang dah dihancurkan ke dalam filling kastard tadi.
- Isikan adunan filling ke dalam ‘piping bag’.
- Simpan di dalam peti sejuk.
Teknik #3: Cara Membuat Filling Whipping Cream
- Sediakan bekas yang bersih dan kering.
- Masukkan 500gm whipping cream. Boleh tambahkan gula icing jika whipping cream mempunyai rasa tawar (opsyenal).
- Pukul whipping cream sehingga kental dan masukkan ke dalam ‘piping bag’.
- Letak di dalam freezer sebentar supaya tidak cair.
Teknik #4: Cara Membalut Durian Crepe
- Ambil dan letakkan sekeping ‘kulit crepe’ di atas piring atau plate yang sesuai.
- Paipkan ‘filling whipping cream’ ke atas ‘kulit crepe’ di bahagian tengah sebagai lapisan filling pertama.
- Kemudian paipkan pula ‘filling kastard bersama durian’ di atas ‘filling whipping cream’ sebagai lapisan filling kedua.
- Paipkan sekali lagi ‘filling whipping cream’ sebagai lapisan filling terakhir.
- Balutkan secara cermat dan kemas ‘kulit crepe’ dengan kesemua lapisan filling tadi di dalamnya.
- Tak jadi rupa macam bantal pun? Asah skill dengan ulangi langkah 1 ~ 5 semula untuk adunan durian crepe yang lain. Boleh adjust sikit kuantiti filling untuk elak rasa muak nanti.
- Masukkan kesemua durian crepe yang dah siap dibalut ke dalam peti ais sebelum dihidangkan.
Macam mana? Boleh follow resepi dan step by stepnya ke? Kalau susah sangat nak faham, boleh tengok video di bawah ini.
Kredit : Mama of DH family