
Sudahlah selama ini kita keliru kenapa ayam tetapi isinya ikan. Sekarang diberitahu pula Ayam Brand itu rupanya bukan milik Malaysia tetapi milik Juara Piala Dunia 2018 yang lalu, Perancis. Apa ni?
Nama pun ayam, mestilah produk Malaysia, betul tak? Jawapannya salah. Sejarah Ayam Brand bermula kepada seorang lelaki Perancis yang bernama Alfred Clouet. Beliau mengasaskan produk ini di Singapura pada tahun 1892, yang ketika itu merupakan sebahagian daripada Malaya di bawah pemerintahan British.
Imej ayam itu pula sebenarnya menggambarkan simbol tidak rasmi negara Perancis. Menurut laman rasmi Perancis, ayam jantan menggambarkan sejarah keluarga Gallic yang terus digunakan sebagai penghargaan selain menggambarkan “harapan” dan “takdir”.
Ya, ia bukan imej ayam serama di kampung atuk nenek yang kita gambarkan selama ini.
Walaupun di Malaysia, kita selalu sinonimkan menu sardin ini sebagai menu ‘catu’, menu akhir bulan, menu orang bujang tetapi sebenarnya produk makanan ini pada ketika zaman pemerintahan British dilihat sebagai produk mewah kerana makanan tin masih belum mampu dibeli rakyat atas faktor ketiadaan teknologi penyejuk.
Haa, jadi jangan pandang sebelah mata orang yang suka makan sardin ya lepas ni.
Sumber: Free Malaysia Today