5 Kolam Air Panas Persendirian Di Jepun Yang Pasti Anda Impikan

Siapa yang tidak teruja jika bilik hotelnya dilengkapi dengan kolam mandi atau mata air panas. Jika anda ke luar negara, terdapat beberapa negara yang menyedikan kolam mata air panas (hot spring) yang disediakan untuk orang perseorangan (private), terutamanya di Jepun yang sememangnya terkenal dengan mandian jakuzi atau air panas. 

Mari kita lihat 5 tempat menarik di Jepun yang menyediakan private hot spring ini.

Shiosai-no-yado Seikai di Beppu, Japan

Kolam mata air panas terbuka di Shiosai-no-yado Seikai ini sangat unik kerana menghadap Teluk Beppu yang tenang. Ruang dalam ryokan (bilik tidur seperti di hotel/hostel) ini dilengkapi dengan lantai kayu gelap dan perabot minimalis kontemporari, membangkitkan nilai estetikanya serta suasana yang menenangkan. Ditambah pula dengan tingkap-tingkap besar yang memperlihatkan pemandangan laut, angin yang masuk ke ruang kamar menambahkan lagi kesegarannya.

Bourou Noguchi Noboribetsu di Noboribetsu, Japan

Ryokan di Bourou Noguchi Noboribetsu ini menerapkan hiasan bergaya klasik Scandinavia dengan saluran pengudaraan yang bersih. Seronoknya, kolam air panasnya dibina di tepi tingkap besar dan betul-betul menghadap Hiyoriyama Park. Bukan setakat berendam sahaja, tetamu juga boleh menikmati rawatan sauna batu panas Korea. 

Mikiya di Toyooka, Japan

Mikiya adalah ryokan Jepun tradisional di pusat bandar resort Kinosaki Onsen (terutamanya pada musim panas). Walaupun kawasannya dikelilingi dengan mata air panas, Mikiya masih lagi menyediakan perkhidmatan kolam air panas persendirian yang lebih bersih dan dijaga rapi. Pada lewat petang, anda boleh duduk berendam di dalam air panas yang menenangkan sambil mengamati kunang-kunang (kelip-kelip) berterbangan menghiasi taman ryokan.

Yurari Rokumyo di Yufu, Japan

Kolam air panas peribadi di taman Yurari Rokumyo ini sangat mendamaikan kerana dikelilingi oleh pokok-pokok menghijau, manakala laluannya dibina dengan batu-batu mozek yang tersusun. Ryokan ini masih mengekalkan tradisi Jepun lama dengan lantainya hanya dialas dengan tikar tatami dan katil futon. Selain menyediakan servis urutan kaki, tetamu juga boleh menikmati kemudahan mengakses WiFi dan juga televisyen. 

Yoshimatsu di Hakone, Japan

Yoshimatsu adalah ryokan dengan gaya Sukiya paling menawan hati. Kawasan ryokan ini bukan sahaja dikelilingi dengan pokok-pokok buluh dan menghadap ke Danau Ashinoko, malahan tetamu juga dapat menikmati keindahan pemandangan monumen semula jadi Jepun yang paling ikonik, iaitu Gunung Fuji.