
Kalau anda rasa makan kucing, belalang dan otak monyet itu dah cukup membuatkan anda loya, sebenarnya masih banyak lagi makanan yang menjijikkan di dunia ini. Nak tahu apa makanan menjijikkan tu? Nah, kami hidangkan beberapa makanan-makanan ‘pasti loya’ untuk tatapan anda. Jangan sampai ada yang muntah pula ya.
Escamoles
Pernahkah anda bayangkan larva yang terkuit-kuit dalam makanan anda? Ini yang berlaku di Mexico apabila ‘caviar serangga’ yang dipanggil escamoles merupakan makanan dari larva semut. Rasa makanan ini dikatakan hampir mempunyai rasa seperti keju dan ada yang mengatakan ia seperti rasa kekacangan. Biasanya escamoles dimakan dalam taco atau omelet (telur dadar).
Balut
Balut dianggap sebagai hidangan istimewa di Filipina. Makanan ini berasal dari telur itik yang telah dieram sehingga menjadi anak lalu direbus hidup-hidup binatang tersebut yang masih dalam cengkerang telurnya. Caranya memakannya hanya perlu mengetuk bahagian kulit luar telur itik tersebut lalu dimakan bersama garam, cili dan cuka. Aduh, tak dapat bayangkan bagaimana baunya.
Beondegi
Makanan ini terhasil dari ulat sutera yang diperasakan dengan rempah-ratus, lalu dimasak seperti goreng atau dikukus. Beondegi merupakan makanan popular yang biasa anda temui jika ke Korea Selatan. Rasanya dikatakan seperti rasa kayu. Anda pernah makan kayu?
Mata Ikan Tuna
Mata ikan tuna biasanya dijual dengan harga yang murah di pasaran Jepun. Untuk memasaknya, hanya rebus atau kukus, kemudian perasakan dengan bawang putih dan kicap. Ada yang mengatakan, rasanya agak kenyal seperti sotong.
Tarantula Goreng
Ketika zaman pemerintahan regim Khmer Rouge, rakyatnya hidup dalam kelaparan. Dek kerana ketiadaan makanan, maka mereka menjadikan tarantula atau labah-labah besar sebagai pengalas perut. Hidangan ini biasanya digoreng dan rasanya sedikit seperti ketam.
Sup Telur Semut
Makanan yang berasal dari Thailand ini menjadi salah satu makanan eksotik di dunia, Gaeng Kai Mot Daeng atau sup telur merah yang menggabungkan beberapa campuran telur semut dan embrio separa jadi, ditambah pula dengan larva semut untuk membangkitkan rasanya. Rasanya dikatakan seakan-akan sup udang tetapi mempunyai rasa yang agak tajam.
Jeli Hidung Moose
Tak cukup daging, hidung pun boleh dibuat makan. Ini yang berlaku kepada orang-orang Kanada apabila mereka menjadikan hidung moose (dari keluarga rusa) sebagai hidangan unik mereka. Dikatakan cara memasaknya ialah dengan merebus hidung haiwan tersebut dengan bawang dan beberapa jenis rempah bagi menanggalkan bulu-bulu yang terlekat. Setelah membuang rerambut atau bulu-bulu, hidung haiwan tersebut akan direnehkan lagi sehingga empuk dan dicampurkan ke dalam sup jeli.
Boshintang, Korea
Lupakan sup ayam, sup lembu atau sup kambing. Di Korea, boshintang atau stu (stew) daging anjing antara hidangan yang terkenal di negara tersebut. Kononnya memakan stu ini memberi kebaikan kepada kesihatan dan biasanya pemakan stu ini terdiri daripada kelompok warga emas. Stu boshintang ini direneh dengan campuran daun bawang, dandelions serta pelbagai rempah tertentu membangkitkan rasa yang unik, namun stu ini dikatakan agak berbau.
Huitlacoche, Mexico
Pernah termakan buah busuk? Apa rasanya? Di Mexico, buah jagung yang telah busuk dan berkulat (fungus) dianggap sebagai hidangan yang istimewa. Mereka menggelar hidangan ini sebagai huitlacoche (sebut weet-la-ko-cheh) dan rasanya lebih kepada rasa kayu.
Casu marzu
Keju basi ini merupakan makanan tradisional Itali yang diperbuat dari keju kambing yang diperam beberapa minggu sehingga mengundang kehadiran larva serangga yang masih hidup. Bahasa mudahnya keju berulat! Kehadiran ulat-ulat ini dikatakan dapat memberikan rasa yang lebih kuat dan tajam dalam keju.
Arak Ular
Snake Wine atau arak ular dari Tiongkok, China sudah semestinya minuman yang diperbuat daripada sekumpulan ular yang direndam atau dijerukkan di dalam arak beras atau arak gandum. Dikatakan rasanya seakan-akan sake yang direndam selama beberapa bulan. Ular yang biasa digunakan ialah jenis ular-ular yang berbisa, namun kerana kandungan ethanol yang terdapat di dalam arak tersebut ia selamat untuk diminum dan dipercayai bagus untuk kesihatan.
Telur 1000 Tahun, China
Telur tembelang! Ini yang dapat kita bayangkan. Siapa yang sanggup makan telur busuk? Di China, telur busuk ini dikenali sebagai telur 1000 tahun iaitu mereka menyalutinya dengan campuran tanah liat, kapur, abu serta garam dan diperamkan selama berbulan-bulan, sehingga telur-telur tersebut berubah warna. Kuning telurnya akan berubah menjadi hijau gelap atau hitam, manakala putih telurnya berubah menjadi coklat gelap dan seperti jeli. Bau dan rasanya pula tak payah ceritalah ya.
Locusts
Negara Israel pernah menderita akibat serangan beribu-ribu ekor belalang sehingga merosakkan pelbagai jenis tanaman. Apa yang menggelikan, cara mereka menghapuskan kumpulan belalang tersebut agak unik, iaitu dengan memakannya! Belalang-belalang perosak itu ditangkap lalu digoreng dengan coklat untuk lebih berperisa.
Sosej Darah
Dapat bayangkan tak darah haiwan dibuat sosej dengan bau dan teksturnya yang meloyakan? Namun, sosej ini banyak terdapat di negara Afrika, Asia, Amerika dan Eropah. Sosej darah diperap dengan rempah ratus dan dibekukan sebelum dimasukkan ke dalam sarung atau kulit sosej.
Haggis
Haggis merupakan makanan seakan-akan sosej yang mengandungi jantung, hati, dan paru-paru kambing yang ditumbuk dan dicampur dengan bawang putih, oatmeal, lemak, garam serta rempah ratus. Ia menyamai proses pembuatan sosej darah tetapi proses memasaknya hidangan ini perlu dimasak di dalam perut binatang, iaitu digunakan sebagai kulit sosej.
Surströmming
Surströmming atau ikan basi merupakan ikan laut dalam dari Laut Baltik, Sweden yang digaramkan sebelum ditinkan. Dikatakan ikan ini perlu digaramkan supaya tidak basi. Untuk memakannya, tin ini perlu dibuka di kawasan yang terbuka kerana aromanya yang sangat kuat dan tajam.
Rocky Mountain Oysters
Jangan silap faham. Ini bukannya hidangan berasaskan tiram tetapi testis lembu yang digoreng kering. Boleh dapatinya di Kanada.
Bagaimana? Mungkin ada di antara kita yang tertanya-tanya; ‘Dah tak ada makanan lain lagi sedap yang boleh dimakan ke?’. Tapi bagi mereka, mungkin itulah makanan paling rare dan sentiasa menjadi kebanggaan.