
Dianggap sebagai salah satu seni bina terindah dan terhebat sepanjang zaman, Great Wall of China telah menarik berjuta pelancong setiap tahun.
Pada awal bulan Ogos yang lalu, aplikasi penyewaan rumah Airbnb telah melancarkan sebuah pertandingan yang dinamakan “Night At The Great Wall”. Peserta yang bertuah akan mendapat peluang untuk bermalam dalam sebuah “rumah yang direka khas” di binaan yang tersenarai dalam UNESCO itu.
Lihat daripada gambar yang diletakkan di laman web Airbnb, pengalaman sekali seumur hidup itu pasti agak menakjubkan. Walaubagaimanapun, tidak ramai yang merasakan ia sebuah idea yang baik. Airbnb telah menerima pelbagai maklum balas yang mengatakan bahawa pertandingan sedemikian boleh membawa kerosakan pada tapak bersejarah tersebut.
Dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebudayaan Great Wall of China, mereka menolak sama sekali promosi Airbnb mengenai penginapan tersebut. Tambahnya lagi, pihak berkenaan menyatakan bahawa mereka tidak menerima apa – apa kertas kerja atau dokumen bertulis berkaitan pertandingan itu.
Berikutan kenyataan tersebut, pihak Airbnb telah memohon maaf dan menyatakan, “Pihak kami telah membuat keputusan untuk tidak meneruskan program ini“. Mereka juga berjanji untuk mencari alternatif yang lain untuk memberikan pengalaman yang lebih menakjubkan di China.
Featured image credit: Airbnb