
Kini, 272 anak tangga yang menuju ke pintu masuk Kuil Sri Subramaniar Swamy kelihatan lebih mempesonakan apabila telah dicat dengan pelbagai warna terang dan vibrant termasuklah warna biru, kuning, hijau, merah dan oren. Warna – warna ini telah memberikan effect pelangi kepada salah satu tempat tarikan pelancong yang paling popular di Malaysia iaitu Batu Caves, Gombak.

Sebelum ini, anak tangga tersebut kelihatan sangat pudar dan membosankan. Pelancong hanya tertarik dengan keunikan anak tangga yang banyak dan patung emas yang besar atau lebih dikenali sebagai Dewa Murugan. Kini, pelancong akan mempunyai lebih banyak alasan untuk ke sana dengan anak tangga yang baru dicat dengan gaya ombre.


Bukan sahaja anak tangga yang dicat, malah pintu gerbang serta kuil di sekitarnya juga dicat semula. Pemegang amanah Kuil Batu Caves Sri Mahamariamman Datuk N. Sivakumar mengatakan bahawa kerja – kerja mengecat telah dijalankan sejak 3 hari yang lalu, dan kuil itu masih dibuka kepada orang awam.

“Kerja – kerja mengecat tersebut adalah sebahagian daripada kerja pembaikan kuil yang telah dijalankan sejak satu setengah tahun yang lalu,” katanya. Kerja – kerja mengecat dan pembaikan dilakukan bersempena dengan ritual Kumbhabhishekkan (penyucian) kuil, yang dilakukan oleh setiap kuil sekali dalam 12 tahun mengikut ritual Hindu.

Kos keseluruhan bagi kerja baik pulih ini adalah kira – kira RM5 juta, dengan dana yang diperoleh daripada sumbangan dari pelbagai penderma dan penganut. Beliau juga berkata bahawa upacara penyucian akan dilaksanakan pada hari Jumaat ini (31 Ogos), dan semua penganutnya dialu – alukan untuk hadir seawal jam 7 pagi dan ke atas. Di bawah merupakan gambar anak tangga sebelum dicat.
