
Seawal 6.30 pagi, Wang Chendong akan mengambil gambar sarapan pagi yang dibuat olehnya dan memuat naiknya di WeChat peribadi miliknya.
Wang menyediakan sarapan pagi untuk isteri dan anak perempuannya yang berusia 12 tahun. Kebiasan sarapan pagi ciptaannya adalah berasaskan sumber yang sihat seperti tepung gandum, bijiran, sayuran, buah-buahan, telur, bubur ataupun susu soya.

Beliau memulakan hidangan sarapan pagi ini semenjak lima tahun yang lepas. Ketika itu anak perempuannya baru memulakan sesi sekolah rendah.
Wang yang berusia 35 tahun merupakan seorang juruteknik di sebuah kilang percetakan di Jingyin yang terletak dalam dalam daerah Jiangsu. Atas kesibukan kerja, beliau jarang melayan anak perempuannya, Wang Mengjie. Jadi, beliau telah mengambil inisiatif untuk menunjukkan rasa prihatin beliau kepada anaknya melalui cara ini.

Pada mulanya beliau amat kekok untuk membuat sarapan pagi kerana beliau langsung tidak pernah memasak. Namun, beliau meneruskan usahanya dengan membeli peralatan dapur baru, membeli buku-buku tentang nutrisi dan juga sertai kumpulan memasak secara dalam talian.
Hidangan sarapan pagi beliau sering diselitkan dengan imej kartun, haiwan serta bunga-bungaan demi menarik hati anaknya. Bergantung kepada musim juga, kadang-kadang hiasannya punyai tema seperti Piala Dunia FIFA, festival bot naga, Hari Valentine dan juga watak klasik novel China, Perjalanan Ke Barat.

Semenjak beliau memulakan aktiviti menyediakan sarapan pagi ini, ia terus menjadi habit kepadanya. Lagi-lagi apabila berjaya merakamkan detik indah hiasan makanannya di dalam gambar.
Rutin beliau setiap hari ialah bangun seawal 5 pagi, terus lakukan senaman sebentar. Beliau mulakan penyediaan sarapan pagi pada pukul 5.30 pagi. Satu jam kemudian ketika isteri dan anaknya bangun dari tidur, beliau telah menyediakan sarapan pagi di atas meja.

Keluarga itu sarapan pagi bersama dalam tempoh 15 minit. Wang akan membasuh pinggan mangkuk serta mengemas meja makan sebelum bertolak ke tempat kerja pada pukul 7.15 pagi.
Beliau masih teringat lagi antara sarapan pagi yang berjaya membuatkan anaknya terkejut dan teruja ialah ukiran Snow White bersama tujuh orang kerdil yang diperbuat daripada tepung gandum.
Isteri beliau, Li Yingying menghargai usaha yang dilakukan oleh suaminya. Wang sentiasa mengikuti nasihat isterinya dalam perihal masakan.

Wang akan memerhati tindak tanduk keluarganya sama ada mereka menyukai masakannya ataupun tidak. Kadang-kadang keluarganya akan berbincang tentang menu apa yang ingin Wang buatkan untuk mereka.
Bagi Wang, melihat keluarganya dapat menikmati masakannya merupakan suatu kepuasan. Beliau tidak pernah berasa penat tentang melakukan aktiviti itu setiap pagi. Bahkan Wang mengatakan, amalan pemakanan sihat yang beliau amalkan berjaya mengurangkan masalah kesihatan dalam diri mereka sekeluarga.
Sumber: South China Morning Post