Disangka Gula-Gula, Kanak-Kanak Ini Ambil Ecstasy Milik Bapa

Empat murid sekolah di daerah Riau, Indonesia telah mengambil pil ecstacy secara tidak sengaja yang dimiliki oleh bapa salah seorang daripada murid tersebut. Bapa yang berusia 46 tahun tersebut nampak gayanya gagal menyembunyikan pil-pil tersebut daripada anaknya.

Menurut polis, anak kepada lelaki tersebut yang berusia 2 tahun menjumpai pil ecstacy di dalam kereta miliknya. Kanak-kanak tersebut kemudian memberikan pil tersebut kepada abangnya yang berusia 8 tahun.

Mengikut laporan jurucakap polis Riau, Sunarto menyatakan bahawa kanak-kanak tersebut menyangka bahawa pil berwarna hijau di dalam kereta milik bapanya adalah gula-gula. Mereka memotong plastik pil tersebut dan kongsikan kepada rakan-rakan yang berusia 7 hingga 9 tahun.

Kesemua mereka menelan pil tersebut kecuali kanak-kanak berusia 2 tahun, dan seorang lagi yang membuangnya apabila merasakan pil tersebut amat pahit.

Selepas menelan pil tersebut, dilaporkan kanak-kanak itu mengadu sakit kepala dan telah dibawa ke hospital.

Bapa kanak-kanak terbabit telah ditahan polis dan dipercayai menjadi suspek kepada jenayah narkotik apabila mengaku memiliki pil tersebut. Tiada kenyataan lanjut daripada pihak polis sama ada bapa tersebut bakal dikenakan tindakan lanjut.

Sumber: Coconuts