
Pernah dengar rakyat Malaysia bekerja sebagai pemetik buah di Australia? Baru-baru ini, kerajaan Austalia telah memperkenal peraturan baharu untuk pemegang “visa backpackers”. Backpackers kini boleh tinggal lebih lama berikutan peraturan baharu yang telah dibuat oleh kerajaan Australia untuk menampung kekurangan tenaga kerja di ladang-ladang buah menjelang musim menuai di negara itu.

Perubahan peraturan “visa backpackers” itu membolehkan pengembara bekerja untuk tinggal lebih lama di Australia sehingga tiga tahun bermula Julai tahun hadapan dengan syarat mereka perlu bekerja di dalam sektor pertanian untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan.
Buat masa ini, pengembara hanya boleh bekerja memetik buah di wilayah utara Australia dan dengan pengenalan “visa backpackers” baharu, pengembara boleh bekerja di New South Wales, Queensland, Victoria dan di wilayah timur Australia.
Melalui peraturan baharu ini, pekerja boleh bekerja dengan lebih lama iaitu selama setahun berbanding sebelum ini yang hanya enam bulan.
Perubahan yang dibuat untuk visa berkenaan disokong oleh ketua syarikat-syarikat dalam industri pelancongan Australia yang dilihat sebagai satu tarikan untuk pengembara tinggal lebih lama sambil meningkatkan tahap pekerjaan yang fleksibel.
Australia mengeluarkan visa kepada lebih 200 ribu orang dalam tempoh tahun 2017-2018 dengan melibatkan 45 negara yang menerima visa tersebut.

Sebelum ini, Australia dilihat sebagai sebuah negara yang sememangnya menjadi destinasi popular untuk melancong, tetapi berlaku sedikit kemerosotan sejak beberapa tahun lalu. Melalui perubahan ini, mungkin Australia akan kembali menjadi negara yang wajib untuk dilawati.
Bagi sesiapa yang ada masa terluang yang sangat panjang, bolehlah memohon kerja sebagai pemetik buah di sana. Katanya gaji lebih tinggi dari kerja setahun di Malaysia?
BACA: Serangan Jerung Di Kawasan Pelancongan Popular
Sumber: Travel Weekly Asia