Rata-rata restoran berasaskan sushi di Malaysia tidak pernah putus menerima pelanggan. Lebih-lebih lagi apabila ada promosi, pasti sentiasa penuh. Melihat situasi seperti ini, rakyat Malaysia sememangnya boleh menerima makanan tradisional Jepun ini.
Seperti yang kita maklum, sushi ialah makanan yang berasaskan nasi cuka bersama inti campuran makanan laut mentah atau masak, sayur-sayuran dan telur.
Anda yang menggemari makanan simbolik negara Jepun ini, selama ini anda makan sushi dengan cara betul atau salah?
Tidak pasti cara makan selama ini betul atau tidak? Mari kami beritahu cara-cara yang betul memakan sushi.
1. Chopsticks
Jika makan makanan Jepun, kita mestilah mengikut budaya orang Jepun makan untuk memahami dan menghormati budaya mereka. Jika anda tidak mahir menggunakan chopsticks, jangan risau anda masih sempat mempelajari dan berlatih menggunakannya.

Cara memegang chopsticks yang betul ialah memegangnya di 1/3 bahagian chopsticks, bermaksud tidak begitu tengah dan tidak terlalu hujung memegang chopsticks. Jika masih kurang faham, anda boleh belajar teknik menggunakan chopsticks dengan betul di laman ini.
2. Kicap dan Wasabi
Sushi dimakan bersama kicap atau wasabi dan ada juga diiringi bersama hirisan halia untuk membangkitkan kenikmatan memakan sushi. Jangan tuang kicap penuh satu piring! Hanya perlu tuang sedikit dan jika sudah habis, anda boleh menuangkannya lagi. Tidak susah pun!
Tambahan, hirisan halia dimakan bertujuan untuk membersihkan mulut. Contohnya, jika anda makan sushi ikan atau daging mentah seperti salmon dan tuna, selepas memakannya anda perlu makan sedikit hirisan halia.
Lagi satu, jangan campurkan wasabi dengan kicap! Anda perlu mengambil sedikit wasabi dan sapukannya di atas sushi kemudian barulah cicah dengan kicap.
3. Kenali jenis sushi
Pelbagai jenis sushi yang disediakan di restoran Jepun dan tahukah anda setiap jenis sushi itu ada cara tertentu untuk makan?
Sashimi

Sashimi perlu dimakan menggunakan chopsticks. Sapukan sedikit wasabi atas sashimi kemudian cicahkannya bersama kicap.
Nigiri

Nigiri ialah nasi cuka bersama ikan atau daging mentah di atasnya. Cara memakannya menggunakan tangan dan bahagian ikan atau daging mentah dicicah dengan kicap. Jangan pula cicah dibahagian nasi ya!
Ingat, bukan tenggelamkan sushi itu dengan kicap. Hanya bahagian atasnya sahaja dicicah.
Maki, Temaki, Uramaki

Manakala untuk sushi gulung pula, anda boleh memakannya dengan menggunakan tangan atau chopsticks. Cicah sushi pada kedudukan menegak untuk elakkan sushi tenggelam denga rasa masin kicap.
Jika teknik yang anda baca ini semuanya sama seperti yang anda selalu buat, tahniah, anda memang seorang penggemar sushi yang hebat!
Sumber: Tastemade