Titian Kanopi Terpanjang Di Dunia Ada Di Kedah

Malaysia memiliki kawasan hutan dan tanah pertanian yang sangat luas. Masyarakat luar kagum dengan suasana kehijauan dan sering memuji keindahan alam semula jadi di negara kita. Tidak hairanlah Malaysia juga memiliki titian kanopi terpanjang di dunia!

titian kanopi terpanjang
Sumber: Year of the Durian

Titian kanopi sepanjang 950 meter dinamakan Tree Top Walk terletak di Taman Rekreasi Sungai Sedim, kira-kira 30 minit dari bandar Kulim, Kedah. Titian ini mengambil masa selama 14 bulan untuk dibina dan telah siap pada bulan Mac 2005.

Titian terpanjang di dunia ini diperbuat daripada tiang keluli seberat 422,214 kilogram. Mungkin sesetengah orang berpendapat titian ini lebih kepada jambatan gantung dan bukan titian kanopi kerana ia tidak diikat dengan pokok.

Namun, berada di ketinggian 50 meter ini seolah-olah melihat daripada “pandangan mata monyet” kerana pengunjung disajikan panorama flora dan fauna yang ada di hutan hujan tua ini dari perspektif berbeza.

Walaupun titian ini diperbuat daripada besi keluli yang kukuh, pengunjung masih boleh merasakan keadaan bergoyang seperti titian kanopi yang biasa. Oleh itu, pengunjung tidak perlu risau dengan keselamatan kerana titian ini tidak akan roboh atau rosak.

Berjalan kaki di titian kanopi telah menjadi tarikan eko-pelancongan yang popular di negara-negara lain seperti Afrika Selatan, Australia, Costa Rica dan Amerika Syarikat namun negara-negara ini masih tidak boleh menandingi Malaysia yang memiliki jumlah dan kepanjangan titian kanopi di hutan hujan tropika.

Terdapat 10 titian kanopi di Malaysia:

1. Tree Top Walk Sungai Sedim (Panjang: 925 m; Tinggi: 26 m)

2. Taman Negara (Panjang: 530 m; Tinggi: 50 m)

3. Taman Negara Mulu (Panjang: 480 m; Tinggi: 25 m)

4. Lembah Danum, Sabah (Panjang: 300 m; Tinggi: 26 m)

5. Taman Negara Pulau Pinang (Panjang: 250 m; Tinggi: 15 m)

6. Bukit Gemok, Tawau (Panjang: 231 m; Tinggi: 26 m)

7. Taman Eko Rimba KL (Panjang: 200 m; Tinggi: 15 m)

8. Poring, Sabah (Panjang: 175 m; Tinggi: 43 m)

9. FRIM, Selangor (Panjang: 150 m; Tinggi: 30 m)

10. Rainforest Discovery Centre, Sabah (Panjang: 147 m; Tinggi: 28 m)

Selain titian kanopi, terdapat beberapa tarikan dan aktiviti yang ada di Taman Rekreasi Sungai Sedim, antaranya:

Mendaki
Di Tree Top Walk juga ada laluan untuk pendakian ke Gunung Bintang setinggi 1,862 meter melalui Lata Riau. Jarak menuju ke laluan itu adalah sepanjang 14.2 kilometer dan sangat mencabar.

titian kanopi terpanjang
Sumber: Gunung Bintang – Discovery Hit

Rakit Redah Jeram (White Water Rafting)
Keadaan Sungai Sedim yang curam dan bergelora menawarkan pengalaman redah jeram paling mencabar bagi mereka yang menggemari aktiviti sukan air.

titian kanopi terpanjang
Sumber: Sungaisedimadventure

Abseiling dan Paint-Balling
Selain aktiviti mendekati hutan, di sini juga anda dapat menambahkan lagi keseronokan dengan aktiviti seperti abseiling, paint-ball, memancing dan berkhemah.

titian kanopi terpanjang
Sumber: Kayaking

Tree Top Walk dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 5.30 petang. Bayaran kemasukan ialah sebanyak RM10 untuk orang dewasa dan RM6 untuk mereka bawah 17 tahun. Anda boleh memakai sandal atau sepatu yang sesuai untuk berjalan jauh dan perlu membawa minuman serta sedikit makanan ringan kerana perlu merentas hutan melewati sebatang jalan untuk sampai ke Tree Top Walk ini.

Terdapat sebuah resort yanng terletak berdekatan dengan Tree Top Walk, Sedim Rainforest Resort. Mereka menyediakan penginapan chalet, asrama dan kemudahan perkhemahan serta beberapa pakej untuk aktiviti di Sungai Sedim.

Sumber: Free Malaysia Today