CNN Senarai Cendol Dalam Pencuci Mulut Terbaik Dunia Tetapi Milik Singapura?

Siapa yang tidak suka cendol, pencuci mulut sejuk, manis dan yang penting menyegarkan apabila dimakan ketika cuaca panas seperti di Malaysia?

Media berita Amerika Syarikat, CNN mengeluarkan senarai terkini ’50 pencuci mulut terbaik dunia’ termasuk cendol, namun penerangan mereka tentang pencuci mulut itu berasal dari Singapura mencetuskan kemarahan netizen Malaysia.

Berdasarkan artikel yang dikeluarkan CNN, cendol diterangkan sebagai hidangan pencuci mulut sejuk dan manis dan mengakui bahawa ada beberapa versi lain yang ditemui di sekitar Asia Tenggara. Walaubagaimanapun, keterangan mereka yang mengatakan hidangan ais bersama kacang merah yang sememangnya ada di sekitar Malaysia dikatakan hidangan terbaik cendol versi itu berasal dari Singapura.

Kenyataan itu telah mencetuskan pelbagai reaksi pengguna media sosial Malaysia kerana dianggap tidak adil memberi kredit kepada Singapura yang memiliki cendol terbaik di rantau ini. Netizen juga menyatakan bahawa penulis artikel CNN sepatutnya mencuba beberapa cendol terkenal dari Pulau Pinang, Melaka dan lain-lain tempat.

Tidak banyak maklumat mengenai asal usul resepi pencuci mulut ini, namun mengikut laporan iFood, perkataan cendol berasal daripada perkataan “jendol” dari bahasa Jawa bermaksud “menonjol” atau “menabrak”. Tetapi perkataan cendol muncul pertama kali dalam konkordansi Melayu yang diterbitkan pada tahun 1932.

Apabila bercerita tentang asal usul makanan tradisi Malaysia, jaga-jaga penulis di luar sana. Perlu berhati-hati lakukan penyelidikan tentang makanan Asia. Jika tidak, akan tercetuslah kemarahan rakyat tempatan.

Apa kata anda? Layakkah cendol yang dikatakan terbaik di dunia datangnya dari Singapura?

Sumber: Malay Mail