Nahas Ethiopian Airlines: 157 Penumpang Tiada Yang Selamat

Sebuah pesawat Boeing 737 milik Ethiopian Airlines terhempas pada pagi Ahad (10 Mac 2019) ketika dalam perjalanan dari ibu kota Addis Ababa ke Nairobi, Kenya bersama 149 penumpang dan lapan kru. Dalam kenyataan media memaklumkan mangsa terdiri daripada 33 warganegara berbeza.

Pesawat itu berlepas jam 8.38 pagi waktu tempatan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bole dan ‘terputus hubungan’ enam minit kemudian berhampiran Bishoftu, bandar sejauh 60 kilometer di tenggara Addis Ababa menggunakan jalan raya.

Pada sidang akhbar di Addis Ababa, Menteri Pengangkutan Kenya, James Macharia berkata terdapat 32 warga Kenya, 18 warganegara Kanada, lapan warga China dan lima penumpang Belanda. Warganegara lain adalah enam dari Mesir, sembilan dari Ethiopia, tujuh dari Perancis dan United Kingdom, empat dari India, lapan dari Itali, empat dari Slovakia dan lapan dari Amerika Syarikat. Manakala kewarganegaraan dua penumpang lagi tidak dapat dikenal pasti.

Nahas Ethiopian Airlines
Sumber: Euronews

Menurut laporan CNN, beberapa mangsa nahas terbabit ialah kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan mungkin juga beberapa penterjemah bebas.

Berdasarkan laporan BCC, seorang saksi di tempat kejadian mendakwa ternampak kebakaran berlaku pada pesawat itu sebelum ia terhempas.

“Ada letupan dan api yang sangat kuat sehingga kami tidak dapat mendekatinya.

“Semuanya terbakar dan empat helikopter ada di tempat kejadian sekarang,” kata saksi berkenaan.

Pesawat Boeing 737 itu didakwa baru digunakan sekitar empat bulan lalu.

Susulan nahas, Pejabat Perdana Menteri Etiopia pada Ahad mengucapkan takziah kepada keluarga penumpang dan kru.

“Pejabat Perdana Menteri, bagi pihak kerajaan dan rakyat Etiopia, melahirkan rasa duka cita kepada keluarga yang kehilangan tersayang dalam nahas Ethiopian Airlines Boeing 737 yang dalam penerbangan ke Nairobi, Kenya pagi ini.”

Punca pesawat itu terhempas masih belum dikenal pasti dan sedang disiasat. Sebelum ini, model Boeing 737 pernah terlibat dalam kemalangan penerbangan lain di Indonesia pada tahun lepas.

Untuk mengetahui lebih lanjut perkembangan nahas ini, boleh mencari dengan #EthiopianAirlinesCrash.

Sumber: Astro Awani, NST, CNN, AlJazeera